Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Sembilan Pengusaha Pembuatan Bot Terima Mesin

By 30 November 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Taufiq Firdaus Md.Nor (Besut)

BESUT,  30 Nov (Malaysiaaktif) – Sembilan Pengusaha Bumiputera dalam Industri Pembuatan Bot di Terengganu menerima bantuan mesin bersempena lawatan kerja Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) di Desa Ukir Kayu (DUK) di Kampung Raja, di sini, baru-baru ini.

“KPPK melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MITB) mengambil inisiatif untuk membantu industri ini menerusi pemberian bantuan mesin kerja kayu yang sesuai,” kata Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata sejumlah RM1.5 juta peruntukan diluluskan untuk meningkatkan lagi produktiviti dan aktiviti eksport ukiran kayu Malaysia.

“Perbelanjaan tersebut merangkumi kos peralatan, keperluan mesin serta jentera pengukiran penghasilan kraf berasaskan kayu,” katanya.

Yang Dipertua Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (PENGUKIR), Norhaiza Noordin  sedang menerangkan seni ukir kepada Menteri KPPK, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Yang Dipertua Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (PENGUKIR), Norhaiza Noordin sedang menerangkan seni ukir kepada Menteri KPPK, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Tambah beliau, ketika ini mereka melakukan kerja pengukiran secara manual yang mengambil masa yang lama untuk menyiapkan kerja-kerja tersebut, dan penggunaan mesin akan memudahkan kerja serta meningkatkan kualiti kerja mereka.

Zuraida berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis serta Melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Ukiran Kayu Negara (2021-2030).

Katanya, pelan ini dirangka bagi mencapai ke arah memartabatkan industri ukiran kayu negara dengan kerjasama pelbagai pihak iaitu agensi kerajaan, usahawan industri perkayuan dan Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (PENGUKIR).

“Bagi memapankan pembangunan industri ukiran kayu, enam teras strategik pelan ini telah disusun di bawah kementerian iaitu pengukuhan kerjasama, promosi dan pemasaran, pembangunan modal insan, polisi dan insentif, penyelidikan, pembangunan dan pensijilan serta aplikasi teknologi baharu,” tambah beliau.

Tinggalkan komen anda