Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PENA Minta KSN Ulang Arahan Penggunaan Bahasa Melayu

By 30 November 2021Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 30 Nov (Malaysiaaktif) – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menggesa Ketua Setiausaha Negara untuk mengulangi arahan penggunaan Bahasa Melayu melalui surat pekeliling rasmi dalam urusan rasmi semua agensi, syarikat milik kerajaan (GLC) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Presidennya Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata perkara itu adalah untuk memastikan penggunaan bahasa kebangsaan tidak terabai, selain menekankan keperluan penguatkuasaan yang tegas terhadap semua pihak tanpa sebarang kompromi.

“Audit Bahasa yang pernah dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum ini tampak tidak berkesan kerana tidak disusuli tindakan yang sewajarnya, ini kerana tiada pihak yang diberi kuasa untuk mengambil tindakan hukuman terhadap pihak yang mengabaikan arahan itu.

“Sepatutnya hasil daripada pemantauan audit bahasa disusuli tindakan agar usaha berkenaan tidak berlalu sia-sia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegur trend masa kini yang menyaksikan program swasta, malah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi-agensi kerajaan yang tidak menggunakan Bahasa Melayu.

Beliau dipetik sebagai berkata mesyuarat agensi dan GLC juga menggunakan Bahasa Inggeris, malah, penggunaan nama syarikat, projek perumahan dan jenama produk kini menjadi lumrah dengan tidak juga menggunakan Bahasa Melayu.

“PENA berharap kerajaan di bawah kepimpinan sekarang bersikap serius terhadap perkara ini memandangkan Bahasa Melayu yang sudah termaktub kedaulatannya dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan semakin merosot nilainya di mata rakyat negara ini.

“Kini pengabaian terhadap bahasa Melayu oleh pihak-pihak berkenaan sudah berleluasa, seolah-olah Bahasa Melayu tidak ada nilainya lagi sedangkan pekeliling kerajaan sedia menyatakan kewajipan itu,” kata Mohamad Saleeh.

Beliau berkata PENA berharap agar aktiviti pemerkasaan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa dilakukan dengan lebih giat oleh DBP yang berada di bawah Kementerian Pendidikan, Kementerian Luar Negeri, dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui pelbagai program yang dirancang secara bersama.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda