Laporan/foto: Nor Emylia Lot/ Tengku Saipulah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 22 Nov (Malaysiaaktif) – Majoriti warga emas di negeri ini menyambut baik pengumuman kerajaan negeri untuk memberikan bantuan secara berkala kepada kepada golongan berkenaan.
Pengumuman bantuan berkenaan dijangkakan akan diterima oleh 19,230 individu yang berstatus warga emas di negeri ini bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, di dalam satu kenyataan media baru-baru ini, berkata program yang pertama kali dilaksanakan bermula tahun ini, memberi tumpuan kepada warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas.
Bukan itu sahaja, semua penerima yang layak akan menerima bantuan RM50 sebulan dan kerajaan negeri membuat keputusan untuk melakukan pembayaran sebanyak RM300 bagi setiap penerima.
Tambah Hanafiah, bayaran sebanyak RM300 itu merangkumi pembayaran untuk bulan Jun hingga Disember yang akan mula disalurkan secara berperingkat kepada penerima bermula hari ini.
Sementara itu, penerima bantuan, Ismail Embong, 62, berkata dengan pengumuman berkenaan beliau melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kerana kerajaan negeri sentiasa memikirkan kebajikan rakyat di negeri ini.
“Usia pakcik yang sudah uzur, sedikit sebanyak menyukarkan untuk bekerja ketika ini.
“Apabila kerajaan mengumumkan bantuan berkenaan pakcik boleh menarik nafas lega kerana akan menerima bantuan berkenaan setiap bulan,” katanya ketika ditemuramah di sini.
Bagi Ibrahim Mohamad, 61, berkata beliau yang sebelum ini merupakan seorang penoreh getah merasakan bantuan berkenaan sangat bermakna pada dirinya dan keluarga.
“Meskipun hanya menerima RM50 sebulan, tetapi ia begitu besar maknanya kepada saya dan keluarga,” katanya.
Tambah Ibrahim, bantuan yang diberikan secara berkala ini dapat meringankan beban kami sekeluarga untuk membeli barangan keperluan asas setiap bulan.
Menggulas mengenai bantuan berkenaan, ia dikhususkan kepada rakyat Terengganu berusia 60 tahun ke atas yang sudah bersara dan tidak menerima mana-mana bantuan daripada agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Bayaran sebanyak RM300 adalah merangkumi pembayaran untuk bulan Jun hingga Disember yang akan mula disalurkan secara berperingkat kepada penerima manakala pembayaran penuh iaitu sebanyak RM600 setahun kepada penerima yang layak akan mula dilakukan pada tahun hadapan.