Laporan/foto : Mohd Firdaus Mahmud (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI, 22 Nov (Malaysiaaktif) – Sukan ekstrem terutama berkaitan sukan permotoran lasak kini mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Antara sukan ekstrem yang menjadi pilihan ialah kenderaan lasak pacuan empat roda serta motorcross yang diadakan oleh Aras Niaga Offroad Challenge selama tiga hari mulai Jumaat lalu, mendapat sambutan luar biasa dari peminat aktiviti berkenaan.
Aras Niaga Offroad Challenge yang dikelolakan oleh Kumpulan Aras Niaga Berhad Berjaya menarik penyertaan seramai 300 peserta dalam beberapa kategori antaranya kategori “Lightcore” pacuan empat roda, kategori terbuka pacuan empat roda, Open Motorcross serta Cubcross.
Litar Aras Niaga Exreme Park (ANEX) yang dibina di Sungai Tok Pawang, Mukim Semeling, Sungai Petani, mempunyai jarak sejauh 12 km meliputi kawasan ladang kelapa sawit, anak sungai serta kawasan bukit ternyata memberi cabaran yang tinggi kepada para peserta yang mengambil bahagian.
Antara peserta yang mengambil bahagian adalah peserta tempatan termasuklah peserta dari luar negeri seperti Pahang, Terengganu, Pulau Pinang serta Perlis.
Litar ANEX merupakan litar sukan permotoran lasak terbaharu yang diperkenalkan oleh Kumpulan Aras Niaga Berhad khusus untuk peminat sukan lasak.
Kumpulan Aras Niaga Berhad telah melancarkan tapak litar permotoran lasak itu dan perasmian litar telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah Darul Aman, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Noor baru-baru ini.
“Pembinaan trek bagi sukan lasak akan menjadi satu lagi pusat kegiatan serta mercu tanda industri pelancongan sukan bagi Kedah,” ujarnya semasa ucapan perasmian baru-baru ini.
Muhammad Sanusi mengambil peluang untuk melepaskan peserta (flag off) pertandingan Motorcross dan Cubcross sebelum dibawa melawat dan meninjau kawasan sekitar litar dengan dibawa menaiki kenderaan lasak jenis buggy.
Pengarah Urusan Aras Niaga Berhad, Dato’ Muhamad Annas Mohamad Anuar, beliau berkata, pembinaan litar ini bertujuan untuk menyemai semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan penggemar aktiviti sukan ekstrem terutama pacuan empat roda dan motorcross.
“Litar ini dibangunkan di atas tanah dengan keluasan 225 hektar milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (SSI), justeru itu kita berharap agar kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan terhadap aktiviti seperti ini di masa hadapan,” tambahnya.
~RJ~