Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

10 Ditahan Bantu Siasatan Kes Rusuhan Perlawanan Bola Sepak

By 13 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 13 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai sepuluh orang lelaki tempatan berumur lingkungan 17 hingga 36 tahun ditahan Polis Daerah Labuan bagi membantu proses siasatan kejadian rusuhan dalam satu perlawanan bola sepak semalam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani, setakat hari ini lapan lelaki yang ditangkap mendapat perintah reman dari Mahkamah Majistret Labuan selama empat hari sehingga 16 Disember manakala dua lagi mendapat perintah reman sehingga 14 Disember.

“Semalam (12 Disember), pihak polis telah menerima aduan kejadian merusuh melibatkan penyokong dan pemain bola sepak semasa perlawanan bola sepak bawah 23 tahun di Padang Kompleks Sukan Labuan.

DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani.

DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani.

“Kejadian rusuhan bermula semasa perlawanan di antara Pasukan Bambu 2 dengan Pasukan PAT United lebih kurang pukul 1.30 tengah hari pada separuh masa kedua di mana terdapat beberapa orang penyokong daripada kedua-dua pasukan yang tidak berpuas hati berkenaan kekasaran yang berlaku semasa perlawanan.

“Ia menyebabkan beberapa orang penyokong telah masuk ke dalam padang dan berlaku provokasi sehingga berlaku pergaduhan diantara penyokong dan pemain kedua-dua pasukan dan beberapa individu mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi petang tadi.

Tambahnya, pihak polis menasihatkan kepada mana-mana penganjur sukan untuk memaklumkan kepada pihak polis berkenaan apa-apa penganjuran yang melibatkan kumpulan ramai atau melibatkan kehadiran pemimpin-pemimpin tempatan atau orang kenamaan bagi mengelakkan berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini.

“Kes ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda