Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

3,997 Kes Baharu

By 31 Disember 2021Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 31 Dis (Malaysiaaktif) – Jangkitan harian COVID-19 dalam negara terus meningkat dan menghampiri paras 4,000 apabila 3,997 kes baharu dicatatkan semalam berbanding 3,683 kes kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif kini 2,754,513.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 64 kes (1.6 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala 3,933 kes (98.4 peratus) lagi adalah kategori satu dan dua.

Beliau berkata kes harian itu melibatkan 3,631 kes penularan tempatan dan 366 kes import, sementara 3,984 kes sembuh menjadikan kumulatif 2,681,390 kes.

“Kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebanyak 281 dan 155 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam.

Dr Noor Hisham berkata hanya tiga kluster baharu dikesan menjadikan jumlah kluster aktif kini 221 kluster dan keseluruhan 6,123 kluster, sementara kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini ialah 0.95 setakat kelmarin.

Mengenai kes COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir, beliau berkata setakat semalam, 15 kes positif direkodkan melibatkan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS), manakala jumlah keseluruhan mangsa banjir positif wabak itu adalah 442 orang.

Katanya tiada pertambahan kluster baharu yang dilaporkan melibatkan mangsa banjir di PPS.

Bagaimanapun, katanya terdapat 71 lagi kes penyakit berjangkit yang dikesan melibatkan mangsa banjir semalam, merangkumi jangkitan saluran pernafasan akut (ARI) sebanyak 26 kes, penyakit kulit (30), cute Gastroenteritis (AGE) (13) serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) (dua).

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda