Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Hampir 100 Petugas JaPen Cuci Rumah Mangsa Banjir

By 31 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 31 Dis (Malaysiaaktif) – Hampir 100 sukarelawan daripada Jabatan Penerangan (JaPen) digerakkan bagi membantu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam operasi Bantu Hingga Selesai (BAHIS) sehingga Ahad ini.

Ketua Pengarah Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid berkata kesemua sukarelawan berkenaan menyumbangkan tenaga di Taman Sri Muda di Shah Alam, Bukit Changgang di Kuala Langat dan Kampung Sungai Lui di Hulu Langat.

“Petugas JaPen gemar menyantuni mangsa banjir dan komited membantu mangsa yang terjejas dengan mencuci dan membersihkan rumah mereka,” katanya ketika ditemui Bernama selepas terlibat dalam Ops BAHIS di Kampung Labohan Dagang, semalam.

Beliau berkata selain JaPen, sukarelawan daripada Komuniti Keluarga Malaysia dari kawasan setempat turut menyertai BAHIS di sekitar Kampung Bukit Changgang, pada Khamis.

Mohd Sukari dilihat turun padang membersihkan rumah Penolong Pegawai Tadbir Bahagian Akaun, KKMM Zaity Aznura Deris yang terjejas akibat banjir bersama Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek.

Sementara itu, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Khairdzir Md Yunus berkata Bernama terus komited membantu membersihkan rumah mangsa banjir pada hari kedua Ops BAHIS dengan 30 sukarelawan digerakkan di Kampung Labohan Dagang.

Beliau berkata terdapat juga petugas Bernama termasuk kumpulan pengurusan tertinggi pertubuhan itu mengorbankan cuti mereka menjadi sukarelawan Ops BAHIS.

“Antara kerja yang dijalankan adalah mencuci rumah, membuang sampah sarap yang terkumpul serta menyumbangkan barang keperluan kepada mangsa,” katanya.

Beliau juga memberitahu BAHIS membuktikan kerajaan prihatin terhadap mangsa banjir yang selaras dengan gagasan Keluarga Malaysia iaitu bersama sebagai sebuah keluarga tanpa mengira bangsa.

Turut menyertai operasi BAHIS di Bukit Changgang ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama Datuk Mokhtar Hussain, Timbalan Ketua Pengarang (Perniagaan dan Kewangan) Roslan Ariffin, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Antarabangsa) Jamaluddin Muhammad dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Harlina Samson.

Seramai 680 sukarelawan terlibat dalam Ops BAHIS di Kampung Bukit Changgang manakala 540 sukarelawan di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat dan Taman Sri Muda, Shah Alam.

Ops BAHIS anjuran KKMM bukan sahaja memfokus kerja-kerja pembersihan dengan mengutamakan keluarga yang memohon bantuan operasi, malah juga memberi semangat, sokongan moral dan penawar tekanan serta trauma yang dialami akibat musibah banjir.

Operasi yang menyasarkan 300 buah rumah sepanjang lima hari itu merupakan cetusan idea Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan berkonsepkan Keluarga Angkat iaitu menempatkan sekurang-kurangnya lima sukarelawan yang akan bersama-sama dengan keluarga tersebut membersihkan rumah dan kawasan sekitar.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda