Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Ayah Jangan Hanya Aktif di Tempat Kerja, Generasi Hebat Bermula di Rumah

By 18 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 18 Dis (Malaysiaaktif) – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hasrat untuk melahirkan generasi hebat yang akan mencorakkan dunia di dalam negara serta di persada antarabangsa, bermula daripada peranan ayah sebagai pemimpin keluarga.

Perdana Menteri berkata para ayah perlu elakkan daripada menjadi ‘a less involved father at home’, iaitu tidak hanya aktif di tempat kerja atau di luar rumah, tetapi juga perlu memainkan peranan di rumah.

“Menjadi ayah adalah sesuatu yang diimpikan oleh ramai orang, namun, janganlah kita menjadi hanya ayah yang memberi duit tanpa memberikan pendidikan yang sebaiknya kepada anak-anak.

“Buat keluarga Muslim terutamanya, kita perlu merujuk kepada al-Quran dan hadis sebagai panduan peranan utama seorang ayah, dalam mendidik nilai-nilai mulia dalam sesebuah keluarga.

“Nilai murni yang dididik itu akan melahirkan sebuah keluarga yang sejahtera, yang membesarkan persamaan, yang menerima setiap perbezaan dengan hati yang terbuka, saling menghormati walaupun berbeza agama dan latar belakang,” katanya merasmikan program World #QuranConvention kali ke-2 secara maya, hari ini.

Program yang bertajuk ‘Fatherless Homes’, Rumah Tanpa Ayah, #AdaBagaiTiada, #TiadaBagaiAda, membawakan tema penting iaitu Ayah sebagai ‘Pemimpin Masuk Syurga Keluarga’ bagi membentuk kerangka fikir ayah berlandaskan Al-Quran.

Ismail Sabri berkata jalinan dan ikatan kekeluargaan menjadi aspirasi jangka panjang dalam melahirkan Keluarga Malaysia yang kalis cabaran, selain meningkatkan kesejahteraan rakyat agar tiada yang tersisih atau tertinggal dalam mengecapi nikmat pembangunan negara.

Beliau berkata ia berikutan konsep Keluarga Malaysia menggambarkan keutuhan negara, yang terikat dengan didikan sempurna sesebuah keluarga dengan menerapkan nilai murni, kebersamaan, kasih sayang serta saling menghormati merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata konvensyen selama dua hari dengan topik kebapaan itu bakal menjadi momentum perubahan, dalam melahirkan ayah yang mampu memainkan peranan untuk membina keluarga baik sehingga terbina negara yang sejahtera.

“Saya menyeru agar semua anggota masyarakat, terutamanya agensi berkaitan kekeluargaan, para ayah dan bakal ayah di dalam semua organisasi serta dari pelbagai institusi, mengambil manfaat daripada konvensyen ini, agar kita mendapat panduan yang benar dan jelas daripada isi al-Quran sehingga lahir keluaga berasaskan al-Quran sebagai model keluarga Muslim,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda