
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 19 Dis (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 dalam negara kembali mencatatkan penurunan apabila merekodkan 4,083 kes semalam berbanding 4,362 kes kelmarin.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah tersebut 4,049 merupakan kes penularan tempatan dan 34 kes lagi adalah kes import.
“Ini menjadikan kes kumulatif COVID-19 di negara kita setakat ini ialah 2,715,847,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam.
Memperinci lanjut, Dr Noor Hisham berkata daripada kes harian yang dilaporkan pada semalam, 69 kes atau 1.7 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; manakala 4,014 kes atau 98.3 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
Menurutnya lagi, kes sembuh merekodkan 5,435 kes menjadikan kes kumulatif yang telah pulih ialah 2,630,680.
“341 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 145 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Tiga kluster lagi dikesan menjadikan sejumlah 252 kluster aktif sedang dipantau di dalam negara setakat ini.
Sementara itu katanya, kadar Rt negara berada pada 0.91 meningkat berbanding semalam yang mencatat 0.90 dengan Negeri Sembilan, Pahang dan Pulau Pinang kekal mencatat kadar Rt tertinggi iaitu masing-masing 1.0.
— BERNAMA