Laporan/foto: Nur Hassanah Abu Hassan/Fatin Nabila Muktar
KULIM, 24 Dis (Malaysiaaktif) – Misi Bantuan Briged Sukarelawan Kolej Komuniti (BriSK) Negeri Kedah dan Perlis menggerakkan tujuh sukarelawan yang terdiri daripada pensyarah dan kakitangan sokongan dari Kolej Komuniti Kulim, Kolej Komuniti Sik dan Kolej Komuniti Baling ke Bentong, Pahang bagi menjalankan misi bantuan pasca banjir ke negeri tersebut semalam.
Pengarah Kolej Komuniti Kulim, Rizal Kasyrno Ghazali berkata, misi ini dijalankan bertujuan untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir di Bentong Pahang dan sekaligus dapat bersama membantu pihak berkuasa tempatan dalam misi bantuan ini.
Misi ini turut bertujuan membantu rakan kakitangan di Kolej Komuniti Bentong, Pahang yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara banjir di kawasan tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa ini merupakan kumpulan pertama untuk ke Bentong Pahang dan akan disusuli dengan kumpulan kedua selepas ini untuk misi bantuan yang sama bagi tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Briged ini akan bergerak dari Kolej Komuniti Kulim ke Hulu Selangor sebelum bersama sama rakan sukarelawan dari kolej komuniti negeri tersebut bergerak ke Bentong, Pahang. Misi ini membawa bantuan berupa bahan makanan dan peralatan kebersihan untuk diagihkan kepada penduduk sekitar Bentong.
Turut hadir bersama ke pelepasan konvoi Misi Bantuan BriSK ini adalah Dr. Reezlin Abd Rahman Pengarah Kolej Komuniti Baling.
~RJ~