Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Empat Syarikat Malaysia Ambil Bahagian Acara SEMICON West

By 7 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: SEMICON West

PUTRAJAYA, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Empat syarikat Malaysia akan mengambil bahagian secara maya dalam SEMICON West yang akan datang, acara perdagangan utama untuk industri mikroelektronik global, di bawah penyelarasan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

SEMICON West 2021 akan berlangsung dalam format hibrid dengan pameran secara bersemuka di San Francisco, California, bermula 7 Disember hingga 9 Disember 2021, dan pameran maya dari 7 Disember 2021 hingga 7 Januari, 2022.

Dalam satu kenyataan hari ini, MATRADE berkata tahun ini menandakan penyertaan kali ke-12 agensi berkenaan dalam pameran perdagangan itu sambil meneruskan usahanya untuk mempromosikan eksport semikonduktor serta produk dan perkhidmatan yang berkaitan.

Naim Abdul Rahman, pengarah elektrik dan elektronik (E&E), teknologi maklumat dan komunikasi serta mesin dan peralatan berkata: “Objektif penyertaan berterusan adalah untuk meletakkan Malaysia sebagai hab utama bagi mendapatkan sumber E&E dan produk serta perkhidmatan berkaitan semikonduktor, selain menyediakan peluang kepada syarikat Malaysia untuk mempamerkan keupayaan mereka sebagai pemain dalam rantaian bekalan industri semikonduktor global.”

Empat syarikat yang mengambil bahagian – Cortex Robotics, Infinecs Systems, Mi Equipment dan QES Mechatronic.

Sementara itu, eksport produk E&E Malaysia pada 2020 bernilai RM386.29 bilion, meningkat 3.5 peratus daripada 2019.

“Amerika Syarikat ialah pasaran eksport yang penting untuk produk E&E Malaysia. Semikonduktor, yang terdiri daripada peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik, mempunyai nilai eksport RM239 bilion pada 2020, atau hampir 62 peratus daripada jumlah eksport E&E Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda