Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KPT Hasilkan 50,000 Usahawan Sepanjang 2020

By 7 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: KPT

PUTRAJAYA, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menghasilkan hampir 50,000 usahawan dalam kalangan pelajar sepanjang tahun lepas dan daripada jumlah itu, lebih 7,000 graduan masih meneruskan kerjaya sebagai usahawan selepas menamatkan pengajian.

Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata usaha kementerian untuk melonjakkan agenda keusahawanan dalam kalangan graduan bukanlah sesuatu yang baharu.

Menurut Noraini, di bawah lonjakan satu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, Institut Pengajian Tinggi (IPT) diberikan tanggungjawab untuk menyedia dan melengkapkan negara dengan graduan berkualiti, berkemahiran tinggi, berdaya saing, mempunyai nilai keusahawanan tinggi seterusnya berupaya menjadi usahawan berjaya setelah menamatkan pengajian kelak.

“Dalam memastikan hasrat tersebut tercapai, Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 dan Garis Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu telah dilancarkan Februari lepas, sebagai sumber rujukan utama IPT,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup pertandingan simulasi perniagaan IPT Awam peringkat kebangsaan 2021 di Kuala Lumpur hari ini.

Noraini berkata ketika pekerjaan konvensional secara makan gaji terkesan akibat COVID-19, bidang keusahawanan terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dikenal pasti sebagai antara penyelesaian signifikan bagi membantu rakyat menjana pendapatan, di samping mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

Mengenai majlis hari ini, Noraini berkata penganjuran program kali keempat oleh KPT yang disertai oleh 19 Universiti Awam dan satu politeknik itu, dapat meningkatkan kemahiran keusahawanan seperti pengurusan personel, kewangan serta pengurusan risiko dalam kalangan peserta.

Pada masa sama memperkasa kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, penyelesaian masalah, kerja berpasukan, serta moral dan etika profesional, katanya.

Noraini berkata pertandingan itu menggunakan aplikasi simulasi perniagaan Malaysia Practice Enterprise Centre atau MYPEC yang menyediakan platform kepada peserta untuk merasai pengalaman sebenar menguruskan sesuatu perniagaan bermula dengan pendaftaran hingga penubuhan syarikat pemula.

“Tahun ini, ujian bukan hanya datang dalam persekitaran simulasi diwujudkan oleh aplikasi berkenaan tetapi juga cabaran sebenar pandemik yang mengehadkan pergerakan fizikal peserta menambahkan lagi cabaran,” kata Noraini.

Pada majlis itu, anugerah kumpulan perniagaan terbaik dimenangi Medici Sdn Bhd dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), manakala Sedaplicious Sdn Bhd dan Farm Lah masing-masing dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul naib johan dan tempat ketiga.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda