Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Indeks Harga Pengguna Meningkat 3.3 Peratus pada November

By 22 Disember 2021Tiada komen3 minit bacaan

Foto: Infografik Jabatan Perangkaan

PUTRAJAYA, 22 Dis (Malaysiaaktif) – Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat 3.3 peratus tahun ke tahun kepada 124.0 pada November 2021 daripada 120.0 pada setahun lepas, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu disebabkan oleh kenaikan pelbagai kumpulan barangan terutama makanan dan minuman bukan alkohol, pengangkutan dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain.

“Peningkatan paling ketara itu adalah disumbangkan oleh harga bahan mentah masakan yang tinggi.

“Harga ayam iaitu komponen terbesar bagi item daging serta sumber protein utama pilihan rakyat, telah meningkat 16.7 peratus kesan daripada kenaikan harga makanan ternakan terutamanya daripada sumber import,” katanya dalam satu kenyataan media mengenai IHP November 2021, hari ini.

Menurut Mohd Uzir, harga ikan yang juga sumber protein popular dalam kalangan isi rumah terutama B40, juga meningkat dengan harga purata ikan kembong naik kepada RM15.57 berbanding RM14.68 setahun lepas.

Malah, harga susu, keju serta telur dan sayur-sayuran masing-masing turut meningkat sebanyak 4.2 peratus dan 3.4 peratus.

Harga bahan api juga kekal tinggi (27.6 peratus) dan kos elektrik meningkat 34.6 peratus setelah diskaun bayaran elektrik berakhir pada September 2021, kata beliau.

“Penamatan diskaun elektrik di bawah pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang berakhir pada September turut memberi impak kepada indeks bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000.

“Meskipun terdapat peningkatan ketara bagi pengangkutan, makanan dan elektrik, kepelbagaian perbelanjaan isi rumah di Malaysia dan variasi perubahan harga barangan tertentu (meningkat sederhana, kekal dan menurun), secara tidak langsung membantu meredakan kadar inflasi semasa,” katanya.

Mohd Uzir berkata, bagi November 2021, perkhidmatan komunikasi, yuran pendidikan dan bayaran tol tidak menunjukkan perubahan manakala barangan yang mencatat penurunan harga adalah pakaian dan kasut (-0.4peratus) serta vitamin (-1.7peratus).

Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 2.9 peratus akibat peningkatan kumpulan daging (9.2 peratus) diikuti oleh minyak dan lemak (6.4 peratus); susu, keju dan telur (4.4 peratus) serta ikan dan makanan laut (3.6 peratus).

Menurutnya, ayam yang dimakan oleh 86.8 peratus isi rumah B40, meningkat sebanyak 15.1 peratus pada November 2021.

Selain itu, indeks pengangkutan mencatat peningkatan sebanyak 3.5 mata peratus daripada kumpulan sama bagi inflasi keseluruhan dan meningkat 16.2 peratus pada bulan tersebut.

Mohd Uzir berkata, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain juga meningkat 2.8 peratus (November 2020: -3.2 peratus).

Dalam pada itu, beliau berkata IHP mengikut negeri pula menunjukkan kesemua negeri mengalami peningkatan dan sembilan negeri melepasi paras IHP nasional iaitu 3.3 peratus — tertinggi dicatatkan oleh Terengganu pada 4.3 peratus.

Negeri yang merekodkan peningkatan IHP paling rendah adalah Sarawak (2.7 peratus), Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (2.4 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2.4 peratus).

Beliau berkata, inflasi teras meningkatan 0.9 peratus pada November 2021 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya yang disumbangkan oleh kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (+2.6 peratus).

Mohd Uzir turut menegaskan bahawa kenaikan inflasi itu tidak dapat dielakkan dan selari dengan kenaikan harga bahan api dan makanan global.

“Inflasi kini berlaku di seluruh dunia dan dijangka terus meningkat kesan daripada harga global bahan api, makanan dan bahan berkaitan pembinaan seperti besi.

“Bagaimanapun, inflasi dijangka lebih stabil dengan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) untuk 12 bahan makanan yang berkuat kuasa pada 7-31 Disember 2021,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda