Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

KPDNHEP Serbu Premis Jual Minyak Wangi Tiruan

By 22 Disember 2021Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 22 Dis (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah premis yang disyaki menjual minyak wangi tiruan di Jalan Klang Lama, di ibu negara serta merampas 13,577 unit produk berkenaan bernilai kira-kira RM117,435, baru-baru ini.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata operasi pada 14 Disember itu dilakukan susulan aduan yang diterima daripada wakil cap dagangan Global Trade Shields (GTS) berhubung penjualan produk wangian pelbagai jenama terkenal.

Ketika serbuan, lapan pekerja sedang membungkus minyak wangi dipercayai untuk dipasarkan di Semenanjung secara dalam talian dan pemeriksaan lanjut turut menemui sebuah stor simpanan di premis berkenaan yang menempatkan pelbagai jenis dan jenama produk wangian badan.

“Hasil pengecaman awal daripada wakil pengadu, mereka mengesahkan bahawa kesemua produk tersebut adalah tiruan berdasarkan ciri-ciri yang ada pada pembungkusan minyak wangi terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua minyak wangi tiruan itu bersama beberapa dokumen perniagaan disita untuk siasatan lanjut, manakala lapan pekerja dan seorang pemilik perniagaan, yang kesemuanya warga tempatan, ditahan bagi membantu siasatan, katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu sesiapa mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah, katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda