Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Indeks Jenayah Labuan Turun 18 Peratus

By 5 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/BES Labuan

LABUAN, 5 Dis (Malaysiaaktif) – Labuan mencatatkan penurunan kes jenayah sebanyak 29 kes bersamaan 18 peratus bagi tempoh Januari hingga 2 Disember 2021.

Menurut Ketua Polis Daerah Labuan Supt. Ahmad Jawila, sebanyak 132 kes indeks dicatatkan tahun ini berbanding 161 kes indeks pada tahun lepas.

“Ini merupakan petanda baik bahawa masyarakat menyedari tentang kepentingan pencegahan jenayah, kita berharap melalui program seperti ini masyarakat diharap dapat meneruskan kecemerlangan dalam mencegah jenayah agar jenayah dapat dibendung bersama-sama.

Ahmad (dua dari kanan) menyiram pokok kelapa pandan di perkarangan Masjid AL-Ehsan.

Ahmad (dua dari kanan) menyiram pokok kelapa pandan di perkarangan Masjid Al-Ehsan.

“Sebanyak 14 kes jenayah kekerasan dan 118 kes jenayah harta benda dicatatkan sehingga 2 Disember tahun ini dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin melihat ianya sifar, inilah antara program agar kita dapat bantu masyarakat menjalani kehidupan yang aman dan tenteram,” katanya semasa ditemui pada Program Pahlawan Subuh dan Kempen Penanaman Bunga di Masjid Al-Ehsan, Kampung Sungai Labu, di sini semalam.

Jelasnya, Kampung Sungai Labu sendiri mencatatkan sifar kes jenayah pada tahun ini berbanding tahun lepas sebanyak 4 kes dicatatkan.

“Kampung Sungai Labu diisytiharkan sebagai kampung contoh kerana sifar indeks jenayah, kita harap komitmen para pimpinan masyarakat kampung dapat membawa kestabilan dan keamanan di Labuan, diharap ini boleh menjadi contoh kepada kampung-kampung lain di Labuan serta di negeri lain,” jelasnya.

Ahmad bergambar dengan salah satu dari 200 batang pokok yang ditanam dipersekitaran Masjid AL-Ehsan, Kampung Sungai Labun.

Ahmad bergambar dengan salah satu dari 200 batang pokok yang ditanam di persekitaran kawasan masjid.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam memerangi COVID-19 dengan kehadiran varian baharu Omicron.

“Sebanyak 13 pasukan pemantau melaksanakan operasi pematuhan Op COVID-19 di seluruh Labuan dan kompaun akan dikeluarkan di mana sahaja kepada mereka yang ingkar serta tidak mematuhi SOP.

“Kami ingin mengajak masyarakat agar berganding bahu bersama-sama memerangi COVID-19 dan tidak mahu sejarah lama berulang kembali, biar Labuan menjadi contoh sebagai negeri terbaik dalam melandaikan keluk jangkitan COVID-19,” katanya lagi.

Tambahnya, Program Pahlawan Subuh merupakan inisiatif Polis Daerah Labuan yang akan berkunjung ke 16 buah masjid di pulau itu.

“Program ini menepati slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, masyarakat akan sedar dengan kehadiran polis dan boleh saling bertukar pandangan, maklum balas dari enam masjid yang dikunjungi sebelum ini amat baik di mana masyarakat dapat mengenali pihak polis dengan lebih mudah,” tambahnya lagi.

-RI

Tinggalkan komen anda