Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Karnival Bakat Sukan Cungkil Potensi Pemain Pelapis Boling Padang Labuan

By 26 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Persatuan Boling Padang Labuan

LABUAN, 26 Dis (Malaysiaaktif) – Karnival Bakat Sukan Lawn Bowls Terbuka Berpasangan jadi medan mencungkil potensi pemain pelapis sukan boling padang di pulau itu.

Menurut Setiausaha Persatuan Boling Padang Labuan Aisah Alias, pertandingan itu bertujuan mencari bakat-bakat baru bagi dibentuk menjadi pemain pelapis pasukan boling padang Labuan yang berkualiti.

“Program kali ini melibatkan kira-kira 30 bakat-bakat baru yang berusia seawal lima tahun dan kita adakan klinik lawn bowls selama tiga hari dan hari ini kita adakan pertandingan dalam kalangan mereka bagi memberi pendedahan kepada mereka suasana bersaing dalam sesuatu pertandingan.

Rozman (dua dari kiri) selepas menyampaikan hadiah kepada Pasukan Myvi.

Rozman (dua dari kiri) selepas menyampaikan hadiah kepada Pasukan Myvi.

“Tujuan program ini tidak lain hanya untuk mencari bakat-bakat baharu dalam sukan boling padang kerana kita perlu bersedia dengan barisan pemain pelapis yang berkualiti bagi menggantikan pemain–pemain yang lebih senior,” katanya semasa ditemui pada Majlis Penutupan program tersebut di Arena Boling Padang Antarabangsa Labuan, di sini semalam.

Program itu juga katanya adalah sebahagian perancangan jangka masa panjang Persatuan Boling Padang Labuan melahirkan lebih ramai pemain yang berpotensi menyumbang pingat dalam Sukan Malaysia (SUKMA).

“Kita sudah buktikan pada SUKMA Perak 2018 di mana pemain Labuan berjaya menghadiahkan tiga butir pingat emas untuk Wilayah Persekutuan selain satu pingat emas dan satu pingat perak semasa Tournement Open Triples Japan pada 2019.

Para peserta Program Bakat Sukan Lawn Bowls bergambar kenangan bersama Rozman dan tetamu lain.

Para peserta Program Bakat Sukan Lawn Bowls bergambar kenangan bersama Rozman dan tetamu lain.

“Justeru program–program seperti ini adalah sebahagian usaha berterusan kami dengan bantuan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan melahirkan lebih ramai atlit yang boleh menyumbangkan pingat kepada Wilayah Persekutuan serta tidak mustahil mengharumkan nama negara pada masa hadapan,” tambahnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada sokongan semua pihak terutamanya kepada para ibu bapa yang terlibat dengan program ini agar ianya berjaya dilaksanakan serta mencapai objektif yang disasarkan.

Pada pertandingan itu, Pasukan Myvi yang dianggotai Nurin Syasya Syauqina Mohd Hamdan dan Alysha Zahra Junaidi menjadi juara selepas mengetepikan cabaran Pasukan Tiara yang dibarisi Danish Ishraq Irham, Nurul Syamia Zawanah Zulphian dan Nur Anis Zara Mohd Ridzuan pada perlawanan akhir.

Manakala Pasukan Satria yang dibarisi Nur Syabil Syarqawi Mohd Hamdan dan Nur Zurainiza Nasha Md Zaidi berkongsi tempat ketiga dengan Mohd Khairul Jimrin, Nur Eirin Tiara Jumadil dan Fasha Syuhadah Ahmad Syukri dari Pasukan Exora.

Acara penyampaian hadiah disempurnakan Ahli Parlimen Labuan yang juga Presiden Persatuan Boling Padang Labuan, Datuk Rozman Isli.

-RI

Tinggalkan komen anda