Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kes Baharu Meningkat kepada 3,683 Kes

By 30 Disember 2021Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 30 Dis (Malaysiaaktif) – Jangkitan harian COVID-19 dalam negara kembali meningkat ke paras 3,000 apabila 3,683 kes baharu dicatatkan semalam berbanding 2,897 kes kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif kini 2,750,516.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 56 adalah kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala serta bergejala ringan.

“Kes harian itu melibatkan 3,444 kes tempatan dan 339 kes import. Sebanyak 288 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 162 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam.

Beliau berkata bagi kes sembuh pula, sebanyak 4,322 kes dicatatkan menjadikan kumulatif pesakit pulih ialah 2,677,406.

Dr Noor Hisham juga berkata terdapat enam kluster baharu dikesan menjadikan jumlah yang masih aktif ialah 227 manakala kadar kebolehjangkitan (Rt) di negara ini ialah 0.93 setakat kelmarin.

Beliau berkata tiada kes COVID-19 baharu dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir menjadikan jumlah keseluruhan kekal sebanyak 434 kes dan tiada pertambahan kluster baharu yang dilaporkan semalam dalam kalangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu, sebanyak 110 kes penyakit berjangkit dikesan dalam kalangan mangsa banjir iaitu Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) (81 kes), penyakit kulit (16) dan Gastroenteritis Akut (AGE) (13).

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda