Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Mahasiswa Perlu Kemahiran ‘4C’ Hadapi 4IR

By 9 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA

SHAH ALAM, 9 Dis (Malaysiaaktif) – Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Mahpar Atan menyarankan graduan diterapkan elemen ‘4C’ iaitu ‘Critical Thinking & Problem Solving (Pemikiran Kritis), Communication (Komunikasi), Collaboration (Kolaborasi) dan Creativity (Kreativiti)’.

Beliau berkata, elemen tersebut sebagai persediaan dalam menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

Katanya, hasil laporan ‘Future of Jobs Survey, World Economic Forum’ (WEF) 2020 mendapati terdapat perubahan dalam permintaan pekerjaan akibat perkembangan teknologi.

“Ia menunjukkan pekerjaan terbaharu bakal mengambil alih pasaran kerja dunia seperti robotik, kecerdasan buatan (AI), saintis data raya dan transformasi digital.

“Ini yang akan menggantikan pekerjaan semasa seperti kerani kemasukan data, setiausaha eksekutif, akauntan dan juruaudit,” katanya.

Mahpar berkata demikian ketika berucap di Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) ke-22, di sini semalam.

(Kanan) Penyampai berita dan pengacara Radio Televisyen Malaysia (RTM), Muhammad Syairul Islam Basmullah menerima Diploma Kejuruteraan Mekanikal daripada Mahpar Atan di Majlis Konvokesyen PSA ke-22.

(Kanan) Penyampai berita dan pengacara Radio Televisyen Malaysia (RTM), Muhammad Syairul Islam Basmullah menerima Diploma Kejuruteraan Mekanikal daripada Mahpar Atan di Majlis Konvokesyen PSA ke-22.

Majlis konvokesyen PSA diadakan bermula 6 hingga 10 Disember secara fizikal dengan keseluruhan sidang sebanyak 13 berbanding tujuh atau lapan sidang sebelum ini.

Sementara itu, penyampai berita dan pengacara Radio Televisyen Malaysia (RTM), Muhammad Syairul Islam Basmullah adalah antara penerima diploma sempena Majlis Konvokesyen PSA semalam.

Beliau antara 404 graduan yang hadir pada hari ketiga majlis tersebut yang diadakan di Dewan Al-Jazari PSA sejak 6 Disember lalu.

Katanya, beliau berkeyakinan politeknik mampu melahirkan graduan-graduan berkualiti menepati sasaran industri.

“Mahasiswa di politeknik diterapkan 50 peratus teori dan 50 peratus praktikal yang melengkapkan akademik dan kemahiran yang kognitif,” katanya.

Berkongsi kegembiraan setelah bergelar graduan, Syairul melahirkan rasa gembira apabila dapat menamatkan pengajian dan memahat kenangan di majlis konvokesyen.

“Rasa teruja apabila PSA mengadakan majlis secara fizikal setelah hampir dua tahun ia tidak diadakan berikutan pandemik COVID-19.

“Majlis konvokesyen adalah sesuatu yang dinanti oleh setiap mahasiswa kerana ia merupakan detik bersejarah dikongsikan bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya yang menerima Diploma Kejuruteraan Mekanikal.

-RI

Tinggalkan komen anda