
Laporan/foto: Mohamad Zaidy (Putrajaya)/KKMM
PUTRAJAYA, 14 Dis (Malaysiaaktif) – Pembangunan aplikasi internet perlu bergerak seiring dengan pembangunan teknologi semasa dengan fokus untuk memudahkan orang ramai dalam urusan penghantaran dan penerimaan bungkusan.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata sektor koperasi perlu memberikan tumpuan dalam usaha pembangunan perisian aplikasi perkhidmatan untuk kegunaan pengguna.
“Saya pasti ruang yang ada boleh membawa pulangan yang baik kepada koperasi dan anggotanya kerana dengan semangat bekerjasama ini dapat memberi sinergi yang jitu dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya merasmikan Majlis Jalinan Kerjasama Sistem Penghantaran dan Penerimaan Bungkusan Secara Aplikasi Internet di Wisma Ungku Aziz, Petaling Jaya hari ini.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara ASEAN Co-operative Organisation (ACO) Koperasi 1 Malaysia Berhad dan Paecel365 Sdn. Bhd.
Zahidi berkata gerakan koperasi negara yang dinaungi oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) telah banyak memajukan koperasi khas untuk membangunkan sosioekonomi ahlinya dengan menggunakan teknologi terkini.
“Pengenalan perkhidmatan diberi nama Parcel365 ini dilihat cukup relevan kerana melibatkan perkembangan teknologi semasa yang sememangnya diberikan tumpuan oleh pihak kerajaan dan kini direalisasikan oleh gabungan kerjasama antara sektor koperasi dengan syarikat swasta.
“Berdasarkan laporan e-Conomy SEA 2020 yang diterbitkan oleh Google, Temasek, dan Bain & Company, terdapat peningkatan mendadak dalam kalangan pengguna Malaysia yang beralih kepada perkhidmatan digital,” katanya.
Laporan tersebut juga menyatakan, seorang daripada tiga rakyat Malaysia telah menggunakan perkhidmatan digital buat pertama kalinya pada 2020.
“Kesan ketara daripada data tersebut menunjukkan peningkatan tahap penggunaan teknologi digital yang tinggi dan pantas pada masa hadapan dan ini boleh diterjemahkan dalam potensi pertumbuhan yang memberangsangkan untuk sektor e-dagang, merangkumi rantaian penawaran dan permintaan,” katanya.
-ZS-