Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedahMA

Projek LAT Dan Projek Tanaman Cendawan Tiram Diteruskan Bagi Menjana Pendapatan Penduduk Langkawi

By 14 Disember 2021Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)

LANGKAWI, 14 Dis (Malaysiaaktif) – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah mengambil inisiatif mewujudkan insentif bantuan perniagaan Projek Ekonomi Baru (PEB) di bawah Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG) bermula tahun 2020. Oleh itu, bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi Langkawi pasca pendemik COVID-19, LADA menjalinkan kerjasama dengan syarikat DXN Agrotech Sdn. Bhd dengan memperkenalkan peluang ekonomi baru melalui projek penternakan Lobster Air Tawar (LAT) dan projek tanaman cendawan tiram.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib dalam ucapan perasmiannya semalam berkata,  insentif ini diwujudkan bertujuan membantu mengurangkan beban seterusnya menjana pendapatan sampingan komuniti Langkawi.

“LADA berharap segmen ekonomi baru berasaskan agromakanan (pertanian dan perikanan) dapat dipromosikan sebagai satu daripada sumber pendapatan sampingan penduduk Langkawi.

“Dalam jangka masa panjang, kedua-dua projek ini dapat menjana pendapatan yang lebih kepada para peserta jika produk-produk hiliran yang unik dapat dihasilkan, selain ia juga berpontensi untuk menjadi sumber pendapatan utama jika berjaya dikembangkan secara meluas,” katanya lagi.

“Saya difahamkan pada 2 Disember yang lalu pihak DXN Agrotech Sdn. Bhd. telah menganjurkan sesi latihan kepada peserta-peserta projek Lobster Air Tawar dan juga projek cendawan tiram. Saya berharap semua peserta telah mendapat ilmu pengetahuan dari sesi berkenaan dan menyeru supaya penerima bantuan terus kekal dan mendalami serta memanfaatkan ilmu yang diperolehi dalam cabang ekonomi baru ini,” ujarnya lagi.

Acara gimik memasukkan anak benih Lobster ke dalam kolam ternakan salah seorang peserta.

Acara gimik memasukkan anak benih Lobster ke dalam kolam ternakan salah seorang peserta.

Nasaruddin juga berkata penambahbaikan produk-produk inovatif ini penting untuk supaya produk-produk ini dapat menarik perhatian bukan sahaja pelancong tempatan tetapi juga pelancong antarabangsa ke Pulau Langkawi.

Salah seorang peserta projek Lobster Air Tawar, Rosli Junus, Kampung Bukit Tangga, 57, berkata dengan peluang yang diberikan ini beliau akan berusaha untuk meningkatkan pendapatan dengan perusahaan Lobster Air Tawar.

“Syukur Alhamdulillah saya amat berterima kasih kepada pihak LADA dan syarikat DXN Agrotech Sdn Bhd dengan memberi peluang dan bantuan yang diberikan untuk saya mengusahakan projek Lobster Air Tawar,” katanya.

Peserta Projek Ternakan Lobster Air Tawar (LAT), Rosli Junus.

Peserta Projek Ternakan Lobster Air Tawar (LAT), Rosli Junus.

Manakala bagi salah seorang peserta projek tanaman cendawan tiram, Thevendaran Murugasan , Taman Langkawi, Kuah, 41, berkata beliau amat berminat untuk mengusahakan tanaman cendawan tiram namun tidak mempunyai tempat yang sesuai.

“Dengan peluang yang diberikan oleh pihak LADA ini saya dapat meneruskan minat saya serta menjana pendapatan saya dalam perusahaan tanaman cendawan tiram ini,” katanya lagi.

Majlis Penyerahan Insentif Bantuan Perniagaan Projek Ekonomi Baru (PEB) Pelan Hala Tuju Ekonomi Langkawi (HELANG) kepada peserta projek ternakan Lobster Air Tawar (LAT) dan Projek Tanaman Cendawan Tiram Kali Ke- 2 ini telah diadakan pada hari ini di Ayer Hangat Village, Langkawi.

Penyaluran bantuan insentif PEB ini melibatkan seramai 47 orang peserta yang terdiri daripada pemain industri Langkawi dan dua Maahad Tahfiz.

Seramai 29 orang perserta menerima bantuan perniagaan set pelihara LAT dengan nilai RM2,000 setiap seorang dan peserta akan memperoleh satu set kolam ternakan, pam udara dan anak benih LAT berjumlah 500 ekor.

Manakala bantuan berupa 11 buah rumah cendawan berserta 4,000 unit bongkah benih cendawan tiram akan diserahkan kepada 18 orang penerima dan dua buah Maahad Tahfiz di Langkawi iaitu Maahad Tahfiz Darul Amar dan Pusat Pengajian Tarbiyatul Auladiyah.

Majlis yang diadakan secara sederhana dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LADA, Haji Rohaizad Rashid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan) LADA, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin, Pengurus Projek DXN Holdings Berhad, Rusman Putera Basri dan Penghulu Mukim Ayer Hangat, Abdul Azim Mahmud.

~RJ~

Tinggalkan komen anda