Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Permainan Tradisional Martabatkan Seni Budaya Melayu Dalam Kalangan Masyarakat

By 13 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Yusof Abd Samad (Tangkak) 

TANGKAK, 13 Dis (Malaysiaaktif) – Majlis Penutup Festival Permainan Tradisional Negeri Johor Tahun 2021 Peringkat Daerah Tangkak diadakan dalam suasana norma baharu namun meriah dan harmoni.

Menurut Pentadbir Tanah Daerah Tangkak Norizam Mohammad, Pertandingan Permainan Tradisional ini telah bermula dari 11 Disember hingga 12 Disember 2021 yang menyediakan pelbagai acara seperti dam haji, congkak, batu seremban dan sepak raga bulatan.

“Dengan penganjuran program seumpama ini mampu menyemarakkan rasa cinta masyarakat terhadap seni tradisional Melayu walaupun ia kelihatan santai dan tidak memerlukan ruang yang luas.

“Selain itu ia juga dapat mengukuhkan ikatan silaturrahim dalam kalangan masyarakat khususnya masyarakat Melayu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Festival Permainan Tradisional Negeri Johor Tahun 2021 di Bangunan Arked Majlis Daerah Tangkak, di sini, hari ini.

Pentadbir Tanah Daerah Tangkak Norizam Mohammad menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Pentadbir Tanah Daerah Tangkak Norizam Mohammad menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Tambah beliau, tanpa usaha gigih dan semangat berterusan, sukan tradisional ini akan berlalu ditelan zaman tanpa diwarisi oleh golongan muda kelak.

“Pagi ini, sebelum bermulanya acara-acara yang dipertandingkan, aktiviti senamrobik telah diadakan terlebih dahulu bagi menghangatkan lagi suasana majlis pada hari ini,” ujarnya.

Pegawai Kebudayaan dan Kesenian Negeri Johor Siti Awan Pardi berpendapat bahawa penganjuran acara tradisional seperti ini bukan sahaja mampu memartabatkan lagi bangsa Melayu malah ia juga boleh diwarisi kepada generasi muda khususnya para pelajar di peringkat sekolah.

Majlis pada hari ini turut diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan oleh para pelajar SK Sengkang Bukit Gambir.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Majlis Kebudayaan dan Kesenian Negeri Johor Alias Ismail, Imam Masjid Bandar Tangkak dan wakil-wakil jabatan serta agensi.

-NI-

Tinggalkan komen anda