Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

PSA Menang Anugerah Politeknik Terbaik Keusahawanan

By 23 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA

SHAH ALAM, 23 Dis (Malaysiaaktif) – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) memenangi anugerah Politeknik Terbaik Keusahawanan pada Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi 2021 (AKKPT2021).

Majlis yang diadakan di Hotel Marriott, Putrajaya pada Selasa itu membolehkan PSA membawa pulang wang tunai RM100,000, trofi serta hadiah iringan di samping RM10,000 selaku finalis.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam ucapan perasmian berkata, usaha menyokong agenda keusahawanan di institusi pengajian tinggi (IPT) akan dipergiatkan di semua peringkat bagi melahirkan lebih ramai usahawan berkemahiran tinggi.

Katanya, usaha itu akan melahirkan lebih banyak syarikat pemula yang ditubuhkan oleh pelajar, serta mampu bersaing dalam pasaran yang lebih kompetitif untuk tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah PSA, Dr Mohd Zahari Ismail.

Pengarah PSA, Dr Mohd Zahari Ismail.

Sementara itu, Pengarah PSA, Dr Mohd Zahari Ismail, berkata kemenangan tersebut membuktikan keusahawanan menjadi tunjang utama di PSA dalam melahirkan pelajar yang holistik dan berminda keusahawanan.

“Pelbagai inisiatif telah dijalankan untuk memperkasakan ekosistem keusahawanan di PSA.

“Strategik keusahawanan model FITC (Funding, Innovation, Technology dan Collaboration) dibangunkan selaras aspirasi Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 dan Garis Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ketua Pusat Keusahawanan Premier PSA, Zaharatul Akmar Ahmad Zainuddin, pula berkata agenda keusahawanan menjadi focal utama melahirkan usahawan pelajar sebagai pencipta pekerjaan ketika dalam pengajian atau setelah bergelar graduan.

“Kemenangan ini menjadi pemangkin mengekalkan kecemerlangan dan meneruskan pelan tindakan keusahawanan yang telah dirancang untuk melahirkan lebih ramai usahawan pelajar yang berjaya,” ujarnya.

AKKPT2021 adalah platform pengiktirafan tertinggi KPT terhadap komitmen jitu dan usaha tanpa jemu IPT, tenaga pengajar, para pembimbing, pelajar dan graduan, untuk memperkasakan agenda keusahawanan di IPT.

Selain itu, ia untuk meningkatkan persaingan sihat dan menyuburkan semangat keusahawanan.

Lima kategori dipertandingkan iaitu Institusi Terbaik Keusahawanan, Perusahaan Pelajar Terbaik, Perusahaan Graduan Terbaik, Mentor Usahawan Terbaik dan Projek Usahawan Sosial Terbaik.

-RI

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda