Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Petugas Southern Volunteers Batu Pahat Dirai, Terima Penghargaan

By 8 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mazlin Basir (Batu Pahat)/ Pejabat Daerah Batu Pahat

BATU PAHAT, 8 Dis (Malaysiaaktif) – Southern Volunteers merupakan satu badan sukarelawan hasil cetusan idea Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim yang bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan anak muda Johor.

Menurut Pegawai Belia dan Sukan Daerah merangkap Timbalan Pengerusi Bersama Southern Volunteers Batu Pahat, Southern Volunteers Batu Pahat merupakan tulang belakang bagi membantu kelancaran Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sehingga mencapai imuniti kelompok.

“Jumlah ahli sukarelawan Southern Volunteers yang berdaftar di seluruh negeri Johor setakat November 2021 adalah sebanyak 17,355.

“Manakala, bagi daerah ini sebanyak 2,836 ahli sukarelawan telah berjaya didaftarkan melalui Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Majlis Daerah Yong Peng,” katanya dalam ucapan Majlis Pelancaran Southern Volunteers Peringkat Daerah Batu Pahat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Batu Pahat, di sini, baru-baru ini.

Tambah beliau, pada majlis ini kesemua ahli sukarelawan Southern Volunteers dirai dengan pemberian anugerah khas dan sijil penghargaan.

“Pemberian Anugerah Southern Volunteers diberi berdasarkan kerjasama dalam program-program kemasyarakatan yang melibatkan orang muda Johor dan komuniti.

Penerima-Penerima Anugerah Khas Southern Volunteers.

Penerima-Penerima Anugerah Khas Southern Volunteers.

“Bagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pula melibatkan Bilik Gerakan Badan Bertindak Immunisasi Covid-19 (CITF), Unit Vaksinasi Bergerak, PPV Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Batu Pahat, PPV Dewan Orang Ramai Parit Raja, PPV Dewan Besar Persatuan Memperbaiki Akhlak Che Ann Khor Yong Peng, PPV Dewan Sultan Ibrahim Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Majlis Daerah Yong Peng,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi Anugerah Southern Volunteers kategori pertubuhan pula melibatkan Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Daerah Batu Pahat, Gerakan Belia 4B Kawasan Ayer Hitam, Gerakan Belia 4B Kawasan Parit Sulong, Gerakan Belia 4B Kawasan Batu Pahat, Kelab Belia Komuniti Sri Sulong dan Kelab Rakan Muda Batu Pahat.

Salah seorang penerima Anugerah Khas Southern Volunteers Kategori Individu Muhammad Rashid Amran Zainudin, 29, yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir berkata anugerah ini sangat bermakna untuk dirinya.

“Penglibatan dalam bidang sukarelawan ini adalah minat saya tanpa ada paksaan dari mana-mana pihak.

“Dengan penglibatan dalam program-program kemasyarakatan seumpama ini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada saya untuk mengenal kepayahan dan kesusahan yang dialami oleh masyarakat.

“Southern Volunteers turut terlibat dalam misi membantu mangsa-mangsa kebakaran, agihan makanan untuk keluarga yang terjejas sewaktu pandemik COVID-19 dan juga program menderma darah Kebangsaan,” tambahnya.

Turut hadir, Pegawai Daerah Batu Pahat Ismail Abu.

-NI-

Tinggalkan komen anda