Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

11 Loji Ayam Luar Negara Diiktiraf JAKIM untuk Eksport Ayam ke Malaysia

By 8 Disember 2021Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 8 Dis (Malaysiaaktif) – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan bahawa 11 loji ayam di luar negara yang disenaraikan dalam laman sesawang jabatan berkenaan mendapat pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengeksport ayam ke Malaysia sehingga 31 Disember 2023.

JPV dalam kenyataan hari berkata loji berkenaan melibatkan sembilan di Thailand dan dua di China yang telah mendapat kelulusan untuk mengeksport daging ayam dan keratan ayam ke negara ini.

“Badan Pengesahan Halal Luar Negara yang mengawal selia aktiviti penyembelihan halal di loji ayam Thailand iaitu The Central Islamic Council of Thailand dan di China, ialah Shandong Halal Certification Services adalah masih sah tempoh pengiktirafan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sehingga 31 Disember 2023,” menurut JPV dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan video tular di media sosial melibatkan seorang penceramah bebas yang mendakwa loji-loji ayam dari Thailand dan China yang mengeksport produk ayam ke Malaysia telah tamat tempoh dan tidak halal.

JPV juga memaklumkan bahawa senarai loji ayam luar negara di laman sesawang JPV akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan loji yang didapati tidak mematuhi syarat import yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia akan digantung kelulusan eksport.

“Notifikasi penggantungan akan dipaparkan pada nama loji tersebut di laman sesawang JPV untuk makluman pihak-pihak berkepentingan,” menurut kenyataan itu.

Orang awam turut diingatkan supaya merujuk kepada pihak berkuasa veterinar, JPV untuk mendapatkan keterangan dan pengesahan tentang kesahihan sesuatu perkara sebelum membuat sebarang hebahan dalam media sosial bagi mengelakkan spekulasi.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda