Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

51 daripada 984 Laporan AEFI Dos Penggalak Diklasifikasi Serius

By 23 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Sebanyak 51 kes (5.2 peratus) daripada 984 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) bagi dos penggalak vaksin COVID-19, bersamaan kadar 0.005 laporan bagi setiap 1,000 dos, diklasifikasikan sebagai serius setakat 20 Januari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata secara keseluruhannya, sistem pelaporan AEFI Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah menerima sejumlah 24,411 laporan AEFI melibatkan dos penggalak.

“Pemantauan laporan AEFI yang diterima oleh NPRA setakat ini menyimpulkan bahawa trend dan kadar pelaporan AEFI yang melibatkan dos penggalak tidak menunjukkan sebarang peningkatan daripada apa yang dilihat semasa pemberian dos primer.

“Trend pelaporan yang sama juga turut dilaporkan oleh negara lain yang telah menjalankan program imunisasi bagi dos penggalak vaksin COVID-19,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala dan keletihan merupakan antara kesan advers yang kerap dilaporkan oleh penerima vaksin.

Penerima vaksin yang mengalami kesan advers boleh membuat laporan AEFI menerusi notifikasi di aplikasi MySejahtera bagi kesan tersenarai di dalam aplikasi itu selain laporan secara dalam talian dengan mengisi Borang Pelaporan Kesan Sampingan Ubat Untuk Pengguna (ConSERF) di laman sesawang NPRA (www.npra.gov.my).

Dr Noor Hisham juga berkata kes baharu COVID-19 yang dilaporkan semalam meningkat kepada 4,116 berbanding 4,046 kelmarin menjadikan jumlah kumulatif jangkitan wabak itu ialah 2,829,089.

Sebanyak 39 (0.9 peratus) daripada jumlah kes baharu itu adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 4,077 kes (99.1 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Daripada 4,116 kes itu, sebanyak 498 adalah kes import dan 3,618 pula adalah kes tempatan manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 141 kes dan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,858 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif setakat ini ialah 2,753,119 orang.

Katanya sebanyak sembilan kluster baharu direkodkan dengan 225 kluster masih aktif.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda