Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 31 Jan (Malaysiaaktif) – Sebanyak 64 program berkonsepkan mesra rakyat telah disusun sepanjang sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022 (SHWP 2022) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Program yang disambut dalam suasana norma baharu itu bermula sejak 15 Januari lepas sehingga 28 Februari ini.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata penganjuran SHWP 2022 yang bertemakan “Keluarga Malaysia” bakal menterjemahkan konsep “Our City Our Home” melalui enam teras utama iaitu Pengiktirafan; llmiah dan Pendidikan; Usahawan; Kemasyarakatan; Seni dan Budaya serta Sukan bagi menjamin kesejahteraan warganya.
“Objektif utama SHWP 2022 adalah untuk menyemarakkan acara-acara sambutan yang melambangkan warga Wilayah Persekutuan yang harmoni, prihatin, maju dan sejahtera sekali gus mencetuskan semangat muhibbah dan integrasi antara masyarakat di pelbagai peringkat.
Situasi ini akan dapat mengeratkan kembali silaturahim seluruh warga Wilayah Persekutuan khususnya setelah hampir dua tahun terpaksa hidup di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19,” katanya dalam sidang media sempena SHWP 2022, baru-baru ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Rosida Jaafar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail.
Shahidan berkata program yang dijadualkan termasuk program memperkasakan keusahawanan seperti Agrobazar dan Trak Makanan, Karnival Usahawan Muda Kota Mini serta Bazar Kreatif Usahawan Muda Kota bermula dari 7 hingga 24 Februari ini.
“Turut diadakan program Semarak Kasih bagi menyantuni pelajar tahfiz, Orang Kurang Upaya (OKU) dan gelandangan pada 15, 21 dan 24 Februari selain program Kibar Bendera Wilayah Persekutuan, program Pencahayaan Wilayah Persekutuan dan 18 program sukan yang bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup sihat.
Aktiviti komuniti yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang SHWP 2022 ini sememangnya merangsang seluruh warga Wilayah Persekutuan seiringan dengan konsep Keluarga Malaysia sekali gus memajukan lagi Wilayah Persekutuan demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Februari setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan dan tahun ini merupakan sambutan kali ke-18 sejak diperkenalkan pada 2004.
Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1974, manakala Labuan pada 1984 dan Putrajaya pada 2001.
Sementara itu, Mahadi berkata DBKL turut menganjurkan Festival Gendang dan Tari Kuala Lumpur (KL Genta) 2022 pada 6 Februari ini di Panggung Anniversary, Taman Botani Perdana di sini sempena ulang tahun ke-50 pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya pertama di Malaysia sejak 1972.
Katanya program yang juga merupakan sebahagian SHWP 2022 itu turut melibatkan kumpulan kesenian dari negara luar yang berkongsi pentas bersama kumpulan tempatan bagi memaparkan keunikan muzik gendang, budaya, busana dan kostum dan seni warisan negara masing-masing.
Mahadi berkata berbeza dengan penganjuran yang lepas, festival yang kali terakhir dianjurkan pada 2019 itu turut mendapat penyertaan pihak berkuasa tempatan bertaraf bandar raya yang lain serta pejabat setiausaha kerajaan negeri antaranya Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor; Majlis Bandaraya Ipoh, Perak dan Majlis Bandaraya Kuantan, Pahang.
“DBKL berharap KL Genta pada tahun-tahun seterusnya juga akan melibatkan penyertaan bandar raya utama di Malaysia dan jemputan peserta dari negara luar untuk dijadikan sebagai satu produk pelancongan,” katanya.
— BERNAMA