Foto: KWP
PUTRAJAYA, 27 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengisytiharkan Februari sebagai bulan sifar miskin tegar di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai usaha menangani kemiskinan bandar ekoran kos kehidupan yang semakin meningkat.
Menterinya Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata bagi merealisasikan hasrat itu, Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Wilayah Persekutuan dan agensi berkaitan akan menyalurkan bantuan kepada golongan terbabit.
“Kami tidak mahu mereka (miskin tegar) terus berada dalam keadaan begitu di sebalik pembangunan dan kemajuan yang dikecapi Wilayah Persekutuan. Perkara ini yang kami akan beri perhatian,” katanya pada sidang media Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022 di sini, hari ini.
Hadir sama timbalannya Datuk Seri Jalaluddin Alias; Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Ketua Setiausaha KWP Datuk Seri Rosida Jaafar.
Sementara itu, Shahidan berkata beliau dan Jalaluddin bersedia untuk memotong gaji selama dua bulan bagi membantu meringankan beban kewangan 19 keluarga miskin tegar di Putrajaya.
“Ada masanya 19 keluarga ini pendapatan bulanan mereka berkurangan kerana hanya berniaga kecil-kecilan, jadi saya dan timbalan akan tampung dahulu sementara menunggu bantuan daripada pihak berwajib,” katanya.
— BERNAMA