Laporan/foto: Tengku Saipulah Tengku Mohamed/Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 17 Jan (Malaysiaktif) – Seramai 300 nelayan yang terjejas teruk berikutan musim tengkujuh kini menarik nafas lega apabila menerima bantuan kewangan bagi meringankan beban mereka.
Bantuan yang disalurkan oleh kerajan negeri melalui Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Tunggal kerana memahami kegawatan ekonomi para nelayan yang terjejas teruk akibat musim berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Bukit Tunggal, Dr Alias Razak, berkata inisiatif ini dilaksanakan dengan kadar segera bagi meringankan sedikit bebanan yang ditanggung oleh golongan nelayan terutamanya di dalam DUN Bukit Tunggal.
“Sebagai anak yang membesar di dalam keluarga nelayan, saya dapat menjiwai perasaan seorang ayah apabila tibanya musim tengkujuh,” katanya selepas merasmikan majlis penyampaian sumbangan kepada nelayan di sini, baru-baru ini.
Beliau dalam pada itu berharap sumbangan berbentuk bantuan kewangan tersebut dapat digunakan sebaik-baiknya oleh setiap penerima.
Sementara itu, penerima bantuan, Embong Awang, 73, berkata bantuan ini memperlihatkan keprihatinan pentadbiran kerajaan negeri terhadap golongan nelayan yang terkesan pendapatannya kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan mereka keluar ke laut mencari rezeki.
“Ketika ini, kebanyakan nelayan tidak dapat menangkap ikan dan kehilangan sumber pendapatan lain dan sampingan,” katanya ketika ditemui sebaik selesai menerima bantuan tersebut.
Katanya, situasi sebegitu akan dihadapi oleh mereka saban tahun dan mengakibatkan mereka sukar untuk mencari pendapatan untuk menyara hidup.
Mohd Syukharudin Zainudin, 21, pula meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri dan MTD Bukit Tunggal di atas sumbangan yang diberikan.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri dan MTD Bukit Tunggal kerana mewujudkan bantuan ini khususnya kepada nelayan di sini.
“Bantuan berupa wang ini cukup bermakna buat kami yang tidak dapat ke laut menangkap ikan sepanjang tempoh musim laut bergelora dan sedikit sebanyak mampu sediakan keperluan kepada keluarga,” katanya mengakhiri perbualan.
-ZS-