Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pasaran Bon Domestik Dijangka Lebih Positif Tahun Ini

By 26 Januari 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 26 Jan (Malaysiaaktif) – Pasaran bon domestik dijangka lebih positif tahun ini memandangkan Kumpulan Wang Simpan Pekerja (KWSP) kembali semula menyertai pasaran tersebut, kata pengarah kanan pendapatan tetap di Affin Hwang Asset Management Bhd (Affin Hwang AM), Esther Teo.

“Namun prestasinya dijangka tidaklah begitu lancar kerana kita berdepan dengan peningkatan kadar faedah di peringkat global dan juga di Malaysia.

“… dan justeru itu sekurang-kurangnya dalam tempoh separuh pertama tahun ini, kita masih berhati-hati,” katanya semasa Persidangan Meja Bulat Pelaburan Affin Hwang AM: Prospek Pasaran 2022, yang diadakan secara maya, hari ini.

Teo berkata, pasaran bon domestik sangat diinstitusikan dengan 90 peratus dagangan bon di Malaysia dipacu oleh dana pencen, insurans serta pengurus aset dan KWSP merupakan satu daripada pemain utama dalam segmen ini.

“Dan kita melihat banyak pengeluaran daripada KWSP dan oleh itu, mereka mengekalkan penampan itu bagi memenuhi penebusan tersebut.

“Tahun lepas kita menyaksikan bon domestik tempatan berdepan tempoh yang sukar…bertahun-tahun ia tidak pernah mencatatkan tahun yang negatif. Dan tahun lepas merupakan tahun pertama yang mana pasaran bon ringgit mencatatkan pulangan negatif satu hingga dua peratus,” katanya.

Menurutnya, hasil bon amat rendah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dan kini Affin Hwang AM melihat bahawa perubahan adalah tahun peralihan.

“Tetapi saya fikir separuh kedua tahun ini dan pada 2023, hasil portfolio dan hasil bon akan menjadi lebih menarik untuk dilihat oleh pelabur,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai prospek penarafan memandangkan penarafan kredit negara yang menyusut sejak 2020, beliau berkata tidak akan ada penurunan penarafan bagi Malaysia dalam tempoh setahun dua ini sekiranya kerajaan boleh menguruskan kedudukan kewangan dan fiskal negara dengan baik.

“Berikutan pandemik, banyak kerajaan memerlukan rangsangan fiskal untuk membantu memulihkan ekonomi.

“Banyak agensi penarafan ini memberikan sedikit masa dan melihat kepada prospek bagi asas jangka sederhana,” katanya.

Teo berkata Malaysia masih merupakan negara yang diberikan penarafan A dan hasil bon tempatan masih kekal menarik.

“Sebagai contoh, Sekuriti Kerajaan Malaysia 10-tahun (MGS) kita hari ini didagangkan pada 3.7 peratus dan jika anda bandingkan negara kita dengan negara penafaran A lain seperti Korea Selatan atau malahan negara dengan penarafan BBB seperti Thailand, hasil bon 10-tahun di negara-negara tersebut memberikan anda pulangan kurang daripada 2 peratus.

“Jadi, saya fikir hasil pasaran bon kita masih agak tinggi dan walaupun sekiranya kita berdepan dengan penurunan satu takuk kepada BBB+, saya tidak merasakan impak ke atas bon adalah ketara,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda