Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Para pengunjung program Jualan Keluarga Malaysia di BS Freshmart Kemaman berpuashati dengan harga barangan keperluan harian yang ditawarkan di sini sepanjang dua hari program jualan tersebut diadakan yang berakhir semalam.
Menurut seorang surirumah, Nur Shafiqa Bakari, 42, dari Bukit Mentok, dia mengambil kesempatan untuk membeli barang keperluan dapur seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan minyak masak kerana harganya lebih murah jika dibandingkan dengan harga pasaran luar.
Bagi seorang peniaga kedai makan, Mohd Afiq Abidin, 24, yang datang dari Seri Bandi, berkata jualan ini dapat membantu pengunjung yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan barangan keperluan harian mereka.
“Barang keperluan harian yang dijual dalam program ini lebih murah berbanding di tempat lain.
“Saya membeli gula, minyak masak, ikan, telur dan beras kerana saya memang boleh jimat banyak dengan berbelanja dalam program seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas membeli barang keperluan di sini, semalam.
Seorang kakitangan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Zaik Ibrahim, 56, berkata sebagai pengguna saya perlu bijak berbelanja dan peluang ini harus digunakan untuk mendapatkan barangan harian dengan harga yang lebih murah.
“Inisiatif kerajaan ini amat tepat pada masanya kerana rata-rata pengguna sekarang terbeban dengan kenaikan harga barang keperluan seharian,” katanya.
Dalam pada itu, Zaik juga berharap program ini diadakan secara berterusan pada masa akan datang.
Program Jualan Keluarga Malaysia diadakan di semua 222 kawasan Parlimen secara serentak bermula Sabtu sebagai antara usaha untuk meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.
Program yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga murah antara dua puluh peratus disasarkan dua kali setiap bulan bagi memfokuskan kepada kawasan yang mempunyai ramai penduduk daripada golongan B40 dan M40.
-ZS-