Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Perdagangan Runcit Dijangka Berkembang 5.5 Peratus

By 12 Januari 2022Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 12 Jan (Malaysiaaktif) – MIDF Research mengunjurkan perdagangan runcit Malaysia berkembang sebanyak 5.5 peratus tahun ke tahun pada 2022.

Firma penyelidikan itu berkata kelonggaran sekatan pergerakan, pembukaan semula ekonomi dan data makroekonomi yang semakin bertambah baik menyediakan ruang bagi perbelanjaan pengguna yang kukuh pada suku keempat 2021 serta bagi 2022.

Terdahulu semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata jualan perdagangan borong dan runcit pada November 2021 mencatatkan paras tertinggi dalam rekod, meningkat sebanyak 7.0 peratus tahun ke tahun kepada RM118.1 bilion diterajui kenderaan motor, borong dan runcit.

“Kami mengunjurkan penggunaan swasta berkembang sebanyak 6.0 peratus pada 2022. Dengan perjalanan antara negeri telah dibenarkan, kami menjangkakan sektor perkhidmatan akan mendapat manfaat dan meningkat sebanyak 7.1 peratus bagi 2022,” katanya dalam satu nota penyelidikan semalam.

Bagaimanapun, ia berkata risiko negatif terhadap pemulihan perbelanjaan pengguna termasuklah kemunculan pelbagai varian baharu COVID-19, impak perubahan iklim, pemulihan perlahan pasaran buruh dan peningkatan tekanan inflasi.

Sementara itu, MIDF Research berkata perbelanjaan pengguna dijangka berada dalam trajektori meningkat pada Disember 2021 dan 2022, disokong oleh kemajuan tinggi kadar vaksinasi, tekanan inflasi yang stabil dan pasaran buruh yang bertambah baik.

“Kami menjangkakan penggunaan swasta dan sektor perkhidmatan akan memberi sumbangan positif kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar pada Suku Keempat 2021,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda