Laporan/foto: Zulkifli Othman/Mahadi Mustafa (Dungun)
DUNGUN,10 Jan, (Malaysiaaktif)– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Dungun telah mengadakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dengan kerjasama Pasaraya Nirwana Maju Sdn. Bhd (Cawangan Dungun) dan Ayam PG Trading di Pekarangan tempat letak Kereta Pasaraya Nirwana Maju Sdn. Bhd.
Program selama dua hari yang berakhir semalam itu menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan asas dan harian seperti minyak masak, gula, telur ayam, tepung dan lain-lain dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran setempat bermula pukul 9 pagi sehingga 1 tengah hari.
Program ini merupakan inisiatif kerajaan bagi menangani kos sara hidup yang dijalankan serentak di seluruh negara melibatkan 222 kawasan parlimen.
Ketua KPDNHEP Cawangan Dungun, Muhammad Khairuddin Ali @Abdul Aziz, berkata sambutan pada hari pertama program dijalankan, dianggarkan seramai lebih 800 orang pengguna yang datang mengambil peluang untuk mendapatkan barangan dengan harga yang rendah.
“Sambutan yang menggalakkan daripada penduduk di daerah ini mengambarkan pengguna bijak mengambil peluang mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang lebih rendah,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Khairuddin turut mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada pihak Pejabat Penerangan Daerah Dungun yang telah membuat hebahan sebelum pelaksanaan program juga perkongsian maklumat menggunakan aplikasi WhatsApp dan Facebook bagi tujuan hebahan kepada masyarakat berkaitan program ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Apandi Wan Nik, berkata usaha KPDNHEP Cawangan Dungun, Pasaraya Nirwana Maju Sdn. Bhd (Cawangan Dungun) juga pihak Pejabat Penerangan Daerah Dungun dalam mempromosikan Program Jualan Keluarga Malaysia selama dua hari mendapat sambutan yang sangat baik.
“Pengguna berpeluang mendapatkan barangan dengan harga lebih rendah, ini akan meringankan beban golongan pengguna dan peniaga kecil.
“Program ini sangat baik dan perlu diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika membuat tinjauan program, semalam.
Tuan Hanizawati Tuan Yaakod, 42, berkata barangan seperti sayur-sayuran, ikan, udang, ayam yang dijual bukan sahaja segar malah harga juga sangat rendah.
“Harapan saya, jualan seperti ini diteruskan secara berkala kerana pengguna khasnya suri rumah dan juga peniaga kecil boleh mendapatkan barangan pada harga yang terbaik,” katanya.
Mammad Jusoh, 67, yang ditemui mengharapkan tempoh masa jualan dilanjutkan sehingga ke petang.
“Jika dipanjangkan tempoh masa jualan, penduduk dari kawasan pedalaman dan yang jauh juga dapat datang membeli,” katanya.
Turut hadir adalah Pengurusan Pasaraya Nirwana Maju Sdn. Bhd (Cawangan Dungun).