Foto: Infografik Jabatan Perangkaan
PUTRAJAYA, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan aliran menaik dengan meningkat 5.5 peratus pada Disember 2021 berbanding bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).
Dalam kenyataan hari ini, ia berkata nilai eksport meningkat 10.4 peratus kepada RM123.8 bilion berbanding November 2021, disumbangkan oleh kenaikan eksport alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+22.4 peratus), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (+13.2%) serta pelbagai barang keluaran kilang (+7.8 peratus).
“Selain itu, nilai import menyusut 0.4 peratus bagi bulan ke bulan pada Disember 2021 dengan nilai sebanyak RM92.9 bilion, disumbangkan oleh penyusutan import minyak galian (-25.9 peratus), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (-20.7 peratus) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (-2.4 peratus) manakala nilai perdagangan pula meningkat 63.6 peratus bulan ke bulan dengan nilai RM31.0 bilion,” katanya.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks nilai seunit eksport meningkat 0.2 peratus pada Disember 2021 berbanding bulan sebelumnya, didorong oleh kenaikan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (+3.4 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.8 peratus) dan bahan kimia (+0.8 peratus).
“Indeks volum eksport turut meningkat 10.1 peratus pada bulan sama yang disumbangkan oleh kenaikan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+21.5 peratus), bahan kimia (+9.3 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (+7.7 peratus),” katanya.
Beliau berkata indeks volum eksport pelarasan bermusim meningkat sebanyak 6.0 peratus kepada 172.0 mata daripada 162.2 mata.
Berdasarkan perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing meningkat 15.8 peratus dan 11.6 peratus, katanya.
Menurut Mohd Uzir, indeks nilai seunit import turut meningkat 0.2 peratus pada Disember 2021 berbanding November 2021, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (+7.0 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.5 peratus).
Dalam pada itu, indeks volum import susut 0.6 peratus pada Disember 2021 berbanding bulan sebelumnya berikutan kejatuhan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (-25.9 peratus), minyak galian (-23.9 peratus) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (-2.2 peratus).
“Indeks volum import pelarasan bermusim pada Disember 2021 turun 1.0 peratus daripada 168.7 mata kepada 166.8 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing berkembang 8.4 peratus dan 14.1 peratus,” katanya.
Selain itu, Jabatan Perangkaan berkata terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 0.04 peratus bagi bulan ke bulan kepada 107.1 mata pada Disember 2021.
“Prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif 6.9 peratus daripada 100.2 mata pada Disember lepas,” katanya.
— BERNAMA