Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kekurangan Bekalan Bahan Mentah Bersifat Sementara

By 5 Februari 2022Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 5 Feb (Malaysiaaktif) – Kekurangan bekalan beberapa bahan mentah seperti ayam dan telur yang sedang dialami pengguna ketika ini hanya bersifat sementara dan dijangka pulih sebaik industri yang terlibat kembali beroperasi selepas cuti panjang Tahun Baharu Cina.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Shamsul Nizam Khalil berkata jangkaan itu mengambil kira ramai pekerja ladang ternakan dan pejabat bercuti panjang sempena perayaan itu.

“Menerusi pemantauan, memang berlaku kekurangan bekalan bahan mentah di beberapa lokasi dalam negara yang berlaku kerana banyak faktor antaranya pihak industri tidak dapat menampung permintaan yang tinggi dan disebabkan cuti panjang.

“Namun kita percaya keadaan ini sementara dan kita bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga sedang berusaha untuk mengawal keadaan (mengatasi masalah),” katanya pada rancangan Ruang Bicara Bahas membincangkan topik ‘Pengguna Resah Harga Bahan Mentah Naik’ yang disiarkan Bernama TV malam tadi.

Shamsul Nizam berkata kenaikan harga bahan mentah ketika ini selain dipengaruhi faktor permintaan dan penawaran dalam pasaran, juga banyak berkait dengan kos pengangkutan yang tinggi ketika negara mengimport bahan mentah dari luar negara.

“Ini yang menjadi punca kepada kenaikan dan disebabkan itu kerajaan perlu mengenakan harga kawalan walaupun tahu kawalan ini bukan sesuatu yang sihat untuk sepanjang masa.

“Ia (kawalan harga) hanya akan dilakukan apabila kerajaan menjangkakan berlaku peningkatan harga bahan mentah yang mengganggu pengguna dan bekalan seperti yang berlaku sekarang,” katanya.

Baru-baru ini, terdapat beberapa negeri dilaporkan mengalami masalah bekalan ayam dan telur yang tidak mencukupi sehingga memberi tekanan kepada peniaga dan pengguna kerana harga yang dikenakan terhadap bahan mentah itu tinggi, memaksa kerajaan melakukan intervensi.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda