Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Berikutan Data Eksport Lemah

By 4 Februari 2022Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah semalam, mengalami tekanan daripada eksport yang lemah.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata angka eksport yang lebih rendah disebabkan terutamanya oleh harga tinggi baru-baru ini, yang menghalang pembelian, serta permintaan yang lebih lemah secara amnya.

“Pasaran minyak kacang soya yang lemah juga (mengenakan) tekanan harga dalam pasaran minyak sawit,” katanya kepada Bernama.

Data penyelidik kargo Intertek Testing Services menunjukkan eksport Malaysia bagi tempoh 1-31 Jan 2022 turun sebanyak 25.60 peratus kepada 1.18 juta tan daripada 1.58 juta tan pada 1-31 Disember 2021.

Sementara itu, penyelidik kargo AmSpec Malaysia dan Societe Generale de Surveillance melaporkan bahawa eksport pada 1-31 Januari 2022 masing-masing turun 25.86 peratus dan 27.08 peratus berbanding bulan sebelumnya.

“Oleh itu, kami mengesan paras sokongan pada RM5,400 satu tan dan paras rintangan pada RM5,700 satu tan,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak niaga hadapan MSM untuk Februari 2022 susut RM71 kepada RM5,714 satu tan, Mac 2022 merosot RM84 kepada RM5,663 satu tan, April 2022 jatuh RM79 kepada RM5,513 satu tan dan Mei 2022 menyusut RM80 kepada RM5,336 satu tan.

Sementara itu, Jun 2022 dan Julai 2022 masing-masing turun RM93 kepada RM5,167 satu tan dan RM5,001 satu tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 41,554 lot daripada 18,513 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 244,335 kontrak daripada 226,813 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal untuk Februari Selatan tidak berubah pada RM5,800 satu tan.

Bursa Malaysia menyambung semula dagangan semalam selepas ditutup untuk cuti Tahun Baharu Cina pada Selasa dan Rabu.

–BERNAMA

Tinggalkan komen anda