Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Batal Permit Institut Memandu Kerana Rekod Kemalangan Bukan Polisi

By 4 Februari 2022Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 4 Feb (Malaysiaaktif) – Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pembatalan permit institut memandu (IM) dan menarik balik lesen tenaga pengajar disebabkan rekod kemalangan pemegang lesen dari sesuatu IM itu bukan dasar atau polisi Kementerian Pengangkutan (MOT).

Justeru Wee menerusi catatan di akaun Facebooknya menjelaskan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim mengenai perkara itu adalah pandangan peribadi ketua pengarah berkenaan.

“Dimaklumkan juga bahawa sebarang hala tuju dasar atau apa jua cadangan penambahbaikan sudah tentunya akan dikaji secara holistik dan saintifik terlebih dahulu oleh MOT dengan mengambil kira pelbagai aspek berkaitan termasuk keberkesanannya, kebolehlaksanaannya dan keupayaannya untuk mencapai objektif yang ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini Zailani dilaporkan berkata JPJ akan bertindak membatalkan permit IM dan menarik balik sijil tenaga pengajar yang mempunyai rekod ramai pemegang lesen (dikeluarkan oleh sesebuah IM) yang terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Beliau berkata semua pihak berkepentingan akan dilibatkan dalam sesi libat urus bagi mendapatkan pandangan serta cadangan penambahbaikan bagi kajian terperinci yang dilaksanakan kementerian itu.

Sementara itu, Wee berkata MOT bersama agensi di bawahnya akan meneruskan aktiviti advokasi dan penguatkuasaan sedia ada bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pematuhan kepada peraturan dan aspek keselamatan jalan raya di seluruh negara.

Beliau berkata kementeriannya serius dan komited dalam memastikan jalan raya di seluruh negara kekal selamat digunakan oleh semua pihak.

–BERNAMA

Tinggalkan komen anda