Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)
KANGAR, 15 April (Malaysiaaktif) – Kad ucapan Hari Raya bukan lagi menjadi pilihan masyarakat kini sebagai pengganti diri untuk menyambut lebaran.
Menurut Noor Anati Jefri, 21, kiriman kad ucapan Hari Raya adalah sesuatu yang pelik.
“Generasi muda kini hanya menggunakan aplikasi di telefon bimbit untuk menyampaikan ucapan hari raya berbanding penggunaan kad raya,” katanya yang ditemui di pusat bandar, di sini semalam.
Dalam pada itu, peniaga kad ucapan Nor Azlan Saleehu, 44, berkata hanya segelintir masyarakat yang masih datang membeli kad di kedainya.
“Ianya berbeza pada tahun 90-an, saya terpaksa menambah meja pameran kad kerana permintaan yang sangat menggalakkan daripada pelanggan ketika itu namun kini dipandang sepi,” katanya.
Bagi Mahmood Ismail, 65, beliau masih menjadikan kad ucapan Hari Raya sebagai barangan wajib untuk hiasan rumahnya semasa menyambut lebaran.
-RI