Laporan/foto: Mahadi Mustafa (Dungun)
DUNGUN, 3 April (Malaysiaaktif) – Pelancaran Bulan Kesedaran Penyu Peringkat Negeri Terengganu diadakan bertujuan memberi hebahan dan kesedaran kepada orang ramai dalam menjaga penyu iaitu haiwan reptilia unik yang semakin mengalami kepupusan.
Majlis anjuran Jabatan Perikanan Negeri Terengganu ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hilmi Harun berlangsung di Pekarangan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, Dungun.
“Rantau Abang merupakan destinasi pendaratan penyu yang popular sejak dahulu lagi dan inisiatif menganjurkan program sebegini amat baik dan perlu diteruskan lagi di masa akan datang,” ujar Hilmi selepas program berakhir.
Acara gotong-royong membersih pantai turut diadakan melibatkan jabatan serta agensi di daerah, komuniti kampung Rantau Abang dan pelajar-pelajar institusi awam dan yang lebih menarik adalah acara melepaskan tiga ekor penyu juvenil (Penyu Agar dan Penyu Karah) yang diselamatkan ketika musim tengkujuh baru-baru ini.
-ZS-