Laporan/foto: Mahadi Mustafa (Dungun)
DUNGUN, 3 April (Malaysiaaktif) – Seramai 300 orang anak yatim, golongan asnaf dan saudara baru diraikan dalam Program Agihan Bantuan “Kami Prihatin” di Dewan Sivik Bijangga, Dungun, baru-baru ini.
Bantuan berupa barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, telur dan gandum diagihkan bersempena dengan ketibaan bulan Ramadan adalah anjuran MZ Planet Services Sdn Bhd dengan kerjasama PERKIM Cawangan Daerah Dungun serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat swasta.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MZ Planet Sdn Bhd, Mazelam Awang, bantuan itu disumbangkan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
“Program Kami Prihatin ini adalah salah satu inisiatif syarikat serta rakan strategik untuk memastikan golongan kurang berkemampuan tidak dipinggirkan dan menyahut aspirasi Keluarga Malaysia,” jelas Mazelam semasa ditemui selepas program berakhir.
-ZS-