Laporan/foto: Andi Abdul Rohim (Perak)
SITIAWAN, 14 April (Malaysiaaktif) – Tiga orang pengunjung bazar Ramadan Taman Padang Astaka di sini telah dikompaun atas kesalahan tidak mengimbas kod MySejahtera sebelum memasuki kawasan bazar, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Noor Omar Sappi, pihaknya telah menjalankan operasi dan pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar tersebut.
“Orang ramai yang datang ke bazar Ramadan perlu mengimbas kod MySejahtera sebagai langkah untuk mengesan jika berlakunya jangkitan COVID-19 di bazar Ramadan.
“Ketua Polis Perak juga sangat memandang berat terhadap pematuhan SOP di bazar Ramadan seluruh Perak dan menjadi tanggungjawab setiap individu untuk mengimbas MySejahtera,” katanya.
Turut bersama dalam operasi tersebut adalah Majlis Keselamatan Negara Perak, Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Majlis Perbandaran Manjung.
-ZS-