
Laporan/foto: Geraldine Voo Yee Wen/Dexter Cysonned Ibrahim (Sabah)
KOTA KINABALU, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Sebanyak 233 beg darah berjaya dikutip Hospital Queen Elizabeth II dalam kempen derma darah sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2022.
Ketua Jabatan Perubatan Transfusi HQE II, Dr Shahnaz Irwani Sabri berkata jumlah tersebut adalah melebihi sasaran asal iaitu 150 beg darah.
“Hari Penderma Darah Sedunia disambut pada 14 Jun setiap tahun. Namun begitu, penderma darah sentiasa diperlukan dalam memastikan bekalan darah adalah mencukupi.
“Selain mampu menyelamatkan nyawa, menderma darah meningkatkan solidariti dalam kalangan masyarakat dan ini menepati konsep Keluarga Malaysia,” katanya ketika dihubungi media, pada Selasa.
Menurut Shahnaz, ia juga sejajar dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu ‘Donating Blood is an act of solidarity. Join the effort and save lives’.
Beliau berharap kesedaran mengenai kepentingan menderma darah dapat diterapkan dalam generasi muda bagi memastikan kesinambungan pendermaan darah yang berterusan.
-ZS-