![](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2022/08/d2f4854e-6816-4fda-a0de-6b58e4bb5d8d.jpg)
Laporan/foto: Norshazila Ahmad/Hazlina Tajuddin (Shah Alam)
SERDANG, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) terus mendapat sambutan yang menggalakkan daripada seluruh Keluarga Malaysia.
Setiausaha Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani MAFI Kamal Badrin Hassan berkata penganjuran MAHA 2022 menampilkan sedikit kelainan selaras dengan pembudayaan norma baharu iaitu secara fizikal dan maya.
“Namun setelah tujuh hari berlangsungnya MAHA 2022 lawatan secara fizikal lebih mendapat sambutan kerana orang ramai boleh merasai sendiri pengalaman berkunjung ke pameran yang disediakan.
“Sehingga kini jumlah pengunjung yang hadir secara fizikal telah mencecah 515,000 orang manakala jumlah secara maya adalah 197,456. Jumlah ini dijangka meningkat menjelang hujung minggu ini,” katanya di sini semalam.
MAHA 2022 bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’ berlangsung dari 4 sehingga 14 Ogos ini di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) di sini menyediakan 1,500 ruang jualan dan pameran berkaitan pertanian, hortikultur serta agropelancongan.
-ZS-