Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Hospital Tanjong Karang Baharu Mula Beroperasi Oktober Ini

By 26 September 2022Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Shah Alam)

TANJONG KARANG, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Hospital Tanjong Karang yang baharu akan mula beroperasi pada 10 Oktober ini bagi menggantikan bangunan Hospital Tanjong Karang lama.

Hospital teraebut bakal memberi manfaat kepada 350,000 penduduk di sekitar Kuala Selangor.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Hospital Tanjong Karang dinaik taraf daripada hospital tanpa pakar kepada hospital pakar minor yang kedua di negeri Selangor.

“Dengan status baharu sebagai Hospital Pakar Minor berkapasiti 150 katil, ia diharap akan dapat mengurangkan jumlah kes yang dirujuk ke Hospital Sungai Buloh yang terletak sejauh 62.3 kilometer dari Hospital Tanjong Karang, dengan mengambil masa perjalanan kira-kira selama 1 jam.

“Selain itu, dengan adanya perkhidmatan kepakaran di hospital ini, sebanyak 3,000 kes rujukan melibatkan kos penghantaran pesakit dari Hospital Tanjong Karang ke hospital pakar yang lain iaitu sebanyak RM1.5 juta dapat dijimatkan kerana kes-kes bagi bidang-bidang tersebut boleh dilaksanakan di sini,” katanya di Majlis Penyerahan Hospital Tanjong Karang yang baharu, di sini pagi tadi.

Majlis penyerahan Projek Hospital Tanjong Karang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang.

-ZS-

Tinggalkan komen anda