Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 10 Okt (Malaysiaaktif) – Lebih 1000 bangsa Johor telah membanjiri Dataran Bandaraya Johor Bahru kelmarin bersempena dengan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Johor 2022.
HSN Johor 2022 telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor Tuan Mohd Hairi Md Shah.
Menurut beliau sambutan HSN 2022 merupakan agenda nasional dengan hasrat membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat seterusnya menjadikan Negeri Johor sebagai sebuah negeri yang aktif bersukan.
“HSN 2022 juga merupakan platform terbaik bagi meningkatkan penglibatan masyarakat secara aktif dalam aktiviti sukan serta pergerakan fizikal dalam melahirkan generasi yang sihat, aktif dan cergas.
“Negeri Johor juga telah menjuarai pelbagai acara sukan dan ini telah membuktikan bahawa Johor boleh melahirkan atlet sukan yang berbakat dan berpengalaman,” katanya lagi.
Pelbagai program dan aktiviti menarik yang dianjurkan sempena HSN 2022 bermula dari 7 hingga 9 Oktober 2022 di seluruh negara meliputi peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
-ZS-