Laporan/foto: Mohammad Rasuli Ras-Nazeruddin/Mior Asrul Hadi (Bagan Datuk)
BAGAN DATUK, 16 Okt (Malaysiaaktif) – Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Mukim Bagan Datuk diserikan dengan aktiviti pengisian rohani bagi menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas kelahiran junjungan besar, Nabi Muhammad SAW.
Menurut Orang Besar Jajahan Daerah Bagan Datuk, YDH Toh Seri Lela Paduka Dato’ Dr. Khalid Ismail, aktiviti perarakan, selawat dan ceramah diadakan bertepatan dengan tema Keluarga Malaysia, Pemangkin Kemakmuran yang mementingkan amalan norma hidup berkonsepkan kebersamaan dan keterangkuman.
“Dalam mengharungi krisis yang kita hadapi ketika ini, sebagai Keluarga Malaysia marilah kita berganding bahu memulihkan kembali negara demi kemakmuran bersama. Rasullullah SAW adalah contoh ikutan terbaik kerana baginda mengangkat persaudaraan sesama manusia serta berusaha menghapuskan apa jua bentuk diskriminasi tidak kira agama, bangsa, keturunan dan warna kulit.
“Hal ini menunjukkan bahawa agama Islam adalah agama yang memuliakan umat manusia,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut di Masjid Ismailliyah, Kampung Sungai Betul di sini kelmarin.
-ZS-