Laporan/foto : Nurlaila Abdul Azid/Unit Media SUK Perak (Ipoh)
KUALA KANGSAR, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Perak menjadi negeri pertama membentuk kerajaan baharu seusai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila menyaksikan 11 orang pucuk pimpinan selesai mengangkat sumpah.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang ke-15 di Istana Iskandariah, Bukit Chandan pada Isnin.
Sementara itu, sepuluh orang ADUN turut melafaz sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Perak di hadapan Sultan Perak pada istiadat yang turut berlangsung di lokasi sama, semalam.
Sepuluh EXCO kerajaan baharu yang dilantik ini membabitkan tiga ADUN daripada Barisan Nasional (BN) dan tujuh lagi ADUN mewakili Pakatan Harapan (PH).
EXCO BN diwakili oleh kesemua ADUN daripada UMNO iaitu ADUN Lintang Dato’ Mohd Zolkafly Harun, Salbiah Mohamed (Temengor) dan Khairudin Abu Hanipah (Belanja).
Sementara itu, tujuh lagi EXCO PH diwakili ADUN Sungai Rapat Datuk Seri Ir Dr Mohammad Nizar Jamaluddin (Amanah), Sivanesan Achalingam (Sungkai – DAP), Loh Sze Yee (Jalong – DAP), Teh Kok Lim (Aulong – DAP), Sandrea Ng Shy Ching (Teja – PKR), Mohd Azlan Helmi Helmi (Tualang Sekah – PKR) dan Woo Kah Leong (Pasir Bedamar – DAP).
-ZS-