Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi (Ipoh)
HULU KINTA, 29 Nov (Malaysiaaktif) – Aktiviti menanam pokok menerusi Program Komunikasi Tindakan Setempat (KOMTIS) Khas Penghijauan Malaysia Tahun 2022 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh membantu melestarikan alam semula jadi selari dengan usaha tanaman 100 juta pokok dalam tempoh lima tahun di negeri ini.
Pengawas hutan, Mohamad Kamal Adnan, 53, berkata kerjasama Jabatan Penerangan dan Pejabat Hutan Daerah Kinta/Manjung serta IPG Kampus Ipoh ini merupakan satu usaha yang baik demi memperbanyak tanaman dalam kawasan bandar.
“Bagi program hari ini, sebanyak 73 anak pokok ditanam merangkumi spesis bunga tanjung, kelat paya dan tecoma yang sesuai sebagai pokok hiasan dan teduhan,” katanya.
Sementara itu, seorang peserta Che Zaiton Jamalol Habi, 44, berkata aktiviti penanaman pokok hari ini membantu menghijaukan lagi kawasan ini selain mengeratkan silaturahim sesama rakan sekerja.
“Semoga program sebegini diteruskan dengan harapan alam sekitar terus dipelihara,” tambahnya.
-ZS-