Laporan/foto: Muhamad Amsyar/Hanizatul Azwa (Hilir Perak)
TELUK INTAN, 25 Nov (Malaysiaaktif) – Udang galah menjadi sumber pendapatan golongan nelayan di daerah ini berikutan permintaan yang tinggi terutamanya ketika menjelang musim perayaan.
Seorang nelayan tempatan Muhd Azmiri Jabri, 42, berkata udang galah Teluk Intan mempunyai peminat yang tersendiri kerana isinya yang segar dan manis.
“Nelayan di sini menggunakan pelbagai cara untuk menangkap udang galah. Selain memancing, kami juga menggunakan alatan lain seperti bubu dan jaring.
“Menariknya, cara yang paling baik untuk mendapat pulangan lumayan adalah dengan menggunakan bubu,” tambahnya ketika ditemu bual di sini semalam.
Muhd Azmiri turut berkongsi bahawa ancaman sang buaya merupakan risiko paling besar yang perlu mereka hadapi ketika turun ke sungai.
Pendapatan harian nelayan udang galah bergantung kepada hasil tangkapan dan mampu mencecah sehingga RM400 sehari.
-ZS-