Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Zon Maritim Labuan (Labuan)
LABUAN, 26 Nov (Malaysiaaktif) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MaritimMalaysia) Zon Maritim Labuan menahan sebuah bot nelayan tempatan yang melakukan aktiviti perikanan tanpa permit yang sah di perairan Labuan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, semasa menjalankan rondaan rutin, kapal ronda KM Bistari mengesan sebuah bot nelayan tempatan sedang melakukan aktiviti perikanan di kedudukan 31.2 batu nautika dari Pulau Labuan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit sedang melakukan aktiviti menangkap gamat menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan.
“Bot yang berpangkalan di Sarawak itu dikendalikan oleh seorang nakhoda bersama lima orang kru warganegara Vietnam dan seorang kru warganegara Indonesia berumur lingkungan 20 tahun hingga 44 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bot, nakhoda kapal bersama kesemua kru ditahan dan disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” menurutnya dalam satu kenyataan pagi ini.
Tambahnya, penggunaan peralatan yang tidak dibenarkan itu mampu menyebabkan kerosakan pada ekosistem dan pembiakan hidupan laut serta menasihatkan komuniti maritim agar mengelakkan diri daripada terbabit dengan sebarang salah laku di perairan negara.
-ZS-