Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Hulu Selangor)/Jabatan Penerangan
HULU SELANGOR, 22 Dis (Malaysiaaktif) – Jumlah mangsa sebenar kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Batang Kali adalah seramai 92 orang berbanding 94 orang yang dilaporkan sebelum ini.
Menurut Ketua Polis Negeri Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed, jumlah mangsa sebelum ini adalah berdasarkan jumlah pendaftaran di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm namun setelah semakan dibuat, terdapat pertindihan nama dalam pendaftaran di tapak perkhemahan berkenaan.
“Berdasarkan jumlah rasmi kini hanya seorang sahaja lagi mangsa yang belum ditemui merupakan seorang kanak-kanak lelaki.
“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan seperti biasa di lokasi tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Batang Kali sehingga arahan baru diterima,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, di sini petang tadi.
“Operasi mencari dan menyelamat petang ini ditangguhkan seketika kerana faktor cuaca di lokasi kejadian,” katanya lagi.
-ZS-